Seperti budak-budak lain, saya juga seorang budak nakal ketika kecil serta selalu cuba menyembunyikan perbuatan jahat demi mengelakkan sebarang teguran. Tetapi ibu saya selalu dapat tahu apa yang sudah saya lakukan. Saya masih hairan bagaimana dia boleh mengetahui segala tindak-tanduk saya dengan cepat dan tepat. Apabila saya menanyakan ibu, dia selalu menjawab, “Saya ada mata di belakang kepala saya.” Jawapan ini tentu sahaja menyebabkan saya sentiasa ingin memeriksa dia setiap kali dia memalingkan kepalanya. Adakah mata itu halimunan atau terlindung oleh rambutnya yang berwarna merah? Selepas saya menjadi dewasa, saya tidak lagi mencari bukti tentang “sepasang lagi mata” yang dikatakan oleh ibu. Saya cuma menyedari bahawa saya bukannya “sangat nakal” seperti yang saya bayangkan. Renungan ibu saya yang penuh pemerhatian adalah bukti tentang kepeduliannya yang penuh kasih terhadap anak-anaknya.

Sebagaimana saya bersyukur untuk penjagaan serta perhatian penuh ibu saya (walaupun kadangkala saya berasa kecewa kerana tidak terlepas daripada ditangkap ibu!), namun terlebih lagi saya bersyukur kerana Tuhan “melihat semua manusia” apabila Dia melihat kita dari syurga (Mazmur 33:13). Dia melihat lebih banyak hal daripada apa yang kita lakukan; Dia melihat kesedihan kita, sukacita kita, dan kasih kita terhadap satu sama lain.

Tuhan melihat perwatakan kita yang sebenar dan sentiasa tahu dengan tepat apa yang kita perlukan. Dengan pemerhatian yang sempurna, Tuhan dapat melihat lubuk hati kita, malah Dia melihat mereka yang mengasihi dan meletakkan harapan mereka dalam Dia (ayat 18). Dia adalah Bapa yang mengasihi dan sentiasa memerhatikan kita.