Perkahwinan Ron dan Nancy semakin merosot. Nancy mempunyai hubungan sulit, tetapi selepas beberapa lama dia mengakui dosanya kepada Tuhan. Dia tahu apa yang patut dilakukannya seperti yang disuruh oleh Tuhan, tetapi ini amat sukar baginya. Akhirnya dia mengakui perzinaannya kepada Ron. Ron tidak memilih perceraian, melainkan memberi Nancy peluang untuk memenangi kepercayaannya dengan menunjukkan bahawa dia telah berubah. Dengan cara yang ajaib, Tuhan memulihkan perkahwinan mereka.
Tindakan Ron merupakan gambaran kasih Tuhan dan pengampunan yang ditunjukkan kepada orang berdosa seperti anda dan saya. Nabi Hosea amat memahami perkara ini. Dia diperintah oleh Tuhan untuk mengahwini seorang perempuan yang tidak setia sebagai cara untuk menunjukkan kepada orang Israel tentang status ketidaksetiaan mereka di hadapan-Nya (Hosea 1). Peristiwa yang lagi menyayat hati ialah apabila isteri Hosea meninggalkannya, Tuhan menyuruh Hosea untuk menyambut isterinya pulang. Tuhan berkata, “Cintailah seorang wanita yang suka berzina” (3:1). Walaupun mereka tidak setia kepada Tuhan, Tuhan merindukan hubungan yang rapat dengan umat-Nya. Sebagaimana Hosea mengasihi isterinya yang tidak setia, mencari dia, dan berkorban deminya, Tuhan juga mengasihi umat-Nya. Kemarahan dan kecemburuan-Nya yang benar telah didorong oleh kasih-Nya.
Tuhan yang sama ini merindukan kita mendekati Dia pada hari ini. Apabila kita datang kepada-Nya dengan iman, kita boleh mempercayai bahawa dalam Tuhan kita akan mendapat kepuasan sempurna.