Sewaktu kecil, Anna cenderung melontarkan kata-kata yang kesat terhadap ibu bapanya. Dia tidak menyedari bahawa kata-kata tersebut merupakan interaksi yang terakhir dengan mereka. Sekarang, walaupun dia telah bertahun-tahun menerima kaunseling, dia tidak dapat memaafkan diri sendiri. Perasaan bersalah dan menyesal melumpuhkannya.

Kita semua hidup dengan penyesalan—sesetengahnya agak teruk. Namun, Alkitab menunjukkan jalan untuk mengatasi penyesalan. Mari kita melihat satu contoh.

Dosa Raja Daud tidak diperindah. Pada masa itu, “raja-raja biasanya pergi berperang,” tetapi “Raja Daud tinggal di Yerusalem” (2 Samuel 11:1). Di tempat yang jauh dari medan pertempuran, dia berseketiduran dengan isteri orang lain dan cuba menyembunyikannya dengan pembunuhan (ayat 2-5, 14-15). Tuhan menghentikan Daud daripada terus terjunam dalam dosa (12:1-13), tetapi raja ini perlu menghadapi akibat dosa sepanjang hidupnya.

Semasa Daud sedang meratapi kematian anaknya, jeneralnya, Yoab memenangi peperangan yang sepatutnya diketuai oleh Daud (12:26). Yoab mencabar Daud, “Sekarang, sudilah tuanku mengumpulkan tentera kita yang lain, lalu memimpin serangan untuk merebut kota itu” (ayat 28). Daud akhirnya kembali ke tempat yang dia diurapi oleh Tuhan sebagai ketua bangsa dan tenteranya (ayat 29).

Apabila kita mengizinkan masa lampau menghancurkan kita, sebenarnya kita seakan-akan memberitahu Tuhan bahawa rahmatnya tidak mencukupi. Bagaimanapun apa yang telah kita lakukan, Bapa kita memberikan pengampunan sepenuhnya kepada kita. Kita dapat menemukan seperti apa yang telah dilakukan oleh Daud, rahmat yang mencukupi untuk kembali ke medan peperangan.