Lama sebelum Billy Graham memutuskan untuk mempercayai Kristus ketika dia berumur 16, pengabdian ibu bapanya kepada Yesus adalah teladan yang baik untuknya. Kedua-dua mereka telah beriman dalam Tuhan semasa mereka membesar di kalangan keluarga yang mempercayai Tuhan. Selepas perkahwinan mereka, ibu bapa Billy meneruskan warisan keluarga dengan membesarkan anak mereka dengan penuh kasih sayang, termasuklah berdoa, membaca Alkitab, dan setia menghadiri kebaktian di gereja. Dasar kukuh yang ditunjukkan oleh ibu bapanya untuk Billy adalah sebahagian daripada cara yang dipakai Tuhan untuk memimpin dia mempercayai Tuhan, dan seterusnya dipanggil untuk menjadi seorang penginjil yang berani.

Anak didik rasul Paulus iaitu Timotius, juga mendapat manfaat daripada dasar rohani yang kuat. Paulus menulis, “Aku teringat akan imanmu yang sungguh-sungguh itu, seperti iman nenekmu Lois dan ibumu Eunike” (2 Timotius 1:5). Warisan ini telah menyediakan dan memimpin hati Timotius percaya kepada Kristus.

Sekarang Paulus menggesa Timotius untuk meneruskan tradisi iman ini (ayat 5), “sentiasa menggunakan pemberian yang dikurniakan oleh Allah”, melalui “Roh Allah [yang] melengkapi kita dengan kuasa” (ayat 6-7). Disebabkan oleh kuasa daripada Roh, Timotius dapat hidup demi Injil tanpa perasaan takut (ayat 8). Warisan rohani yang kuat tidak memberi jaminan bahawa kita akan memiliki iman, tetapi teladan dan bimbingan daripada orang lain dapat membantu untuk mempersiapkan kita. Setelah kita menerima Yesus sebagai Penyelamat, Roh Tuhan akan memimpin kita dalam pelayanan, hidup bagi-Nya, mahupun memupuk iman orang lain.