Apabila dia masih kecil, Benjamin West cuba melukis gambar adik perempuannya, tetapi lukisan tersebut tidak menyerupai rupa adiknya. Setelah ibunya melihat hasil karyanya, dia menciumnya di dahi dan berkata, “Inilah Sally!” Dia kemudian berkata bahawa ciuman itulah yang mendorong dia menjadi seorang pelukis, malah seterusnya menjadi seorang pelukis Amerika yang terkenal. Dorongan itu sangat berkuasa!

Seperti seorang kanak-kanak yang belajar melukis, tidak ramai mempercayai perubahan hidup Paulus pada awal pelayanannya, tetapi Barnabas mengesahkan panggilannya. Melalui dorongan Barnabas, jemaah menerima Saulus (kemudian dinamakan Paulus) sebagai orang percaya (Kisah Rasul-Rasul 9:27). Barnabas juga mendorong jemaah Antiokhia yang baru, membantunya menjadi salah satu jemaah yang paling berpengaruh dalam Kisah Rasul-Rasul (11:22-23). Melalui dorongan Barnabas dan Paulus, jemaah Yerusalem menerima orang percaya yang bukan Yahudi sebagai Kristian (15:19). Justeru itu, dengan banyak cara, kisah tentang jemaah awal merupakan kisah yang memberi dorongan.

Perkara yang sama harus diamalkan dalam kehidupan harian kita. Kita mungkin menyangka bahawa dorongan semata-mata memberikan kata-kata yang baik kepada seseorang. Akan tetapi jika kita berfikir sedemikian, kita gagal mengenal kuasa dorongan yang berkekalan. Dorongan merupakan cara Tuhan untuk membentuk kehidupan peribadi kita dan jemaah.

Marilah kita bersyukur kepada Tuhan pada saat kita menerima dorongan serta berusaha untuk menyampaikannya kepada orang lain.