Anak saya, Geoff mengambil bahagian dalam “simulasi tiada tempat tinggal baru-baru ini.” Dia menghabiskan masa selama tiga hari dan dua malam untuk merayau-rayau dan tidur di jalan-jalan di bawah suhu beku. Tanpa makanan, wang, atau tempat perlindungan, dia bergantung pada kebaikan orang yang tidak dikenali untuk keperluan asasnya. Pada salah satu hari itu, satu-satunya makanan yang dimilikinya ialah sandwic, dibelanjakan oleh seorang lelaki setelah dia mendengar Geoff meminta roti basi di sebuah restoran makanan segera.

Geoff kemudian memberitahu saya bahawa itulah salah satu perkara paling sukar yang pernah dilakukannya, namun ia memberi impak yang mendalam tentang pandangannya terhadap orang lain. Selepas “simulasi” tersebut, dia menggunakan satu hari untuk mencari orang yang tiada rumah, yang telah berbuat baik kepadanya semasa dia berada di jalanan. Dia melakukan apa yang mampu untuk membantu mereka dengan cara yang mudah. Mereka berasa terkejut apabila mendapati bahawa dia sebenarnya bukanlah orang yang tiada tempat tinggal. Mereka juga sangat bersyukur kerana dia sangat mengambil berat tentang mereka sehingga cuba untuk melihat kehidupan melalui pandangan mereka.

Pengalaman anak saya mengingatkan saya tentang kata-kata Yesus: “Aku tidak berpakaian, dan kamu memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku. Aku dipenjarakan, dan kamu melawat Aku … kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku!” (Matius 25:36, 40). Sama ada kita memberikan kata-kata dorongan ataupun makanan, Tuhan memanggil kita memenuhi keperluan orang lain dengan kasih. Kebaikan yang kita lakukan untuk orang lain merupakan kebaikan yang kita lakukan untuk-Nya.