Tatkala muzik memenuhi auditorium gereja, Lance Brown, iaitu seorang pelukis buta warna menaiki pentas. Dia berdiri di hadapan kanvas besar berwarna putih. Belakangnya menghadap jemaah dan dia mencelupkan berusnya ke dalam cat hitam. Dengan sapuan yang halus, dia menyelesaikan sebuah lukisan mengenai kayu salib. Coretan demi coretan dengan berus dan tangannya, dia menceritakan penyaliban dan kebangkitan Kristus dengan gambar visual. Dia menutup tompok besar kanvas dengan cat hitam serta menambahkan warna biru dan putih untuk menyiapkan lukisan abstrak dalam masa kurang daripada 6 minit. Dia mengambil kanvas itu, lalu menterbalikkannya, dan mendedahkan imej tersembunyi—wajah Yesus yang penuh belas kasihan.

Brown berkata sebelum ini dia berasa keberatan apabila seorang kawannya mencadangkan dia melukis di pentas semasa kebaktian gereja. Namun kini dia menjelajah di peringkat antarabangsa untuk memimpin orang menyembah Tuhan semasa dia melukis dan berkongsi Kristus dengan orang ramai.

Rasul Paulus menegaskan nilai dan tujuan kurnia-kurnia yang berlainan, yang telah diberikan oleh Tuhan kepada umat-Nya. Setiap anggota dalam keluarga Tuhan dipersiapkan untuk memuliakan Dia dan saling menguatkan dalam kasih (Roma 12:3-5). Paulus mendorong kita mengenal pasti dan menggunakan kurnia kita untuk menguatkan orang lain dan membawa mereka kepada Yesus, serta melayani dengan tekun dan sukacita (ayat 6-8).

Tuhan telah memberikan setiap kita kurnia rohani, bakat, kemahiran, dan pengalaman untuk melayani sepenuh hati di balik tabir ataupun di barisan hadapan. Apabila kita mengenal kreativiti-Nya, Dia memakai keunikan kita untuk menyebarkan Injil dan menguatkan orang percaya yang lain dalam kasih.