Hasil kajian Ellen Langer pada tahun 1975 yang bertajuk The Illusion of Control (Ilusi Pengawalan) telah membuat penelitian tentang tahap pengaruh kita terhadap peristiwa dalam kehidupan. Dia mendapati bahawa kita membuat penilaian yang berlebihan tentang tahap pengawalan kita dalam kebanyakan situasi. Kajian itu juga menunjukkan bagaimana realiti selalu hampir menghancurkan ilusi kita.
Kesimpulan Langer disokong oleh eksperimen yang dilakukan oleh orang lain sejak kajian itu diterbitkan. Walau bagaimanapun, Yakobus mengenal pasti fenomena itu pada masa jauh sebelum dia menamakannya. Dalam Yakobus 4, dia menulis, “Sekarang dengarlah nasihatku, hai kamu yang berkata, ‘Hari ini atau esok kami akan berangkat ke suatu negeri dan tinggal di sana selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.’ Tetapi apa yang akan berlaku dengan kehidupan kamu esok, kamu tidak tahu! Kamu seperti kepulan asap, yang kelihatan sebentar sahaja lalu lenyap” (ayat 13-14).
Kemudian Yakobus memberikan penyelesaian kepada anggapan yang salah ini, serta menunjukkan Tuhan yang berada dalam kawalan mutlak: “Kamu seharusnya berkata begini, ‘Jika diperkenankan Tuhan, kami akan hidup dan melakukan ini atau itu” (ayat 15). Dalam beberapa ayat ini, Yakobus meringkaskan kegagalan dalam situasi manusia dan penyelesaiannya.
Semoga kita memahami bahawa takdir hidup kita tidak berada dalam tangan kita sendiri. Kerana Tuhan memegang segala sesuatu dalam tangan-Nya yang berkuasa, maka kita boleh mempercayai rancangan-Nya!
ILHAM
Ada bukti-bukti bagi kita mempercayai surat Yakobus dalam Perjanjian Baru. Kitab Yakobus ditulis oleh saudara Yesus (Markus 6:3). Walaupun surat itu tidak disebut oleh bapa-bapa gereja sehingga abad ke-3 dan ke-4, rasul Paulus menulis mengenai perjumpaan dengan Yakobus, “saudara Tuhan,” yang menjadi pemimpin gereja di Yerusalem (Galatia 1:19; 2:9). Paulus kelihatan mengatakan bahawa Yakobus yang memainkan peranan penting dalam menyelasaikan perselisihan masalah etnik dan perdebatan agama yang /memecahbelahkan pengikut-pengikut Yesus (Kisah Rasul-Rasul 15:13-21). Dengan kata-kata yang penuh belas kasihan dan pandangan yang segar, Yakobus mengungkapkan jenis kebijaksanaan yang ditekankan dalam seluruh surat Yakobus (Yakobus 1:5; 3:17).Nasihat yang begitu menenangkan membawa satu kemungkinan yang menarik. Sebelum ini Yakobus yang lebih muda mungkin telah mempelajari sesuatu daripada abangnya, maka dia boleh menggambarkan kebijaksanaan yang sebegini pada masa kemudian setelah dia menjadi pengikut Kristus dan anggota keluarga Yesus (Yakobus 1:1; 2:1).