Pada malam Presiden Amerika Syarikat Abraham Lincoln ditembak di Teater Ford pada tahun 1865, poketnya mengandungi benda-benda berikut: dua pasang cermin mata, penggilap lensa, pisau lipat, jam rantai, sapu tangan, dompet kulit yang mengandungi 5 Dolar Negeri-negeri Gabungan Amerika, dan 8 keratan akhbar, antaranya keratan akhbar yang memuji dia dan beberapa polisi kerajaannya.

Saya tertanya-tanya kenapa terdapat wang Dolar Negeri-negeri Gabungan Amerika di dalam poket Presiden. Namun saya tidak berasa terkejut dengan cerita akhbar tentang pencapaian yang menakjubkan tersimpan dalam poketnya. Setiap orang memerlukan dorongan, termasuk pemimpin yang hebat seperti Lincoln! Bayangkan, mungkin pada malam itu, dia sedang membaca akhbar tersebut kepada isterinya?

Siapakah yang anda kenal memerlukan galakan? Semua orang! Perhatikan orang di sekeliling anda. Semua orang pasti pernah mengalami hari yang penuh ketidakyakinan, kegagalan, cemuhan, ataupun perasaan ragu diri.

Apakah yang akan berlaku jika kita mentaati arahan Tuhan untuk “menyenangkan hati [saudara kita] bagi kebaikannya, supaya imannya menjadi semakin teguh”? (Roma 15:2). Apakah yang akan berlaku jika kita bertekad untuk mengucapkan “‘Kata-kata yang lembut bagaikan madu – manis rasanya serta menyihatkan badan”? (Amsal 16:24). Apakah yang akan berlaku jika kita menuliskan kata-kata ini, supaya kawan-kawan dapat membaca secara berulang kali dan menikmatinya? Jadi kita akan mempunyai semua nota dalam poket kita (ataupun dalam telefon!). Kemudian kita akan menjadi lebih seperti Yesus, yang “tidak memikirkan kesenangan diri-Nya sendiri”, melainkan hidup untuk orang lain (Roma 15:3).