Terdapat industri “sewa-sebuah-keluarga” yang semakin meningkat di kebanyakan negara untuk memenuhi keperluan mereka yang kesunyian. Sesetengah orang menggunakan perkhidmatan ini untuk mengekalkan penampilan mereka, supaya ketika menghadiri sebuah majlis sosial, mereka kelihatan seperti keluarga yang bahagia. Sesetengah pula mengupah pelakon untuk mengajuk saudara-mara yang berhubungan renggang, agar mereka dapat merasakan hubungan kekeluargaan yang diinginkan mereka biarpun untuk seketika.

Aliran ini mencerminkan satu kebenaran asas: Manusia diciptakan demi hubungan. Dalam kisah penciptaan yang terdapat dalam kitab Kejadian, “Allah memandang semua yang sudah dijadikan-Nya dan Dia sangat berpuas hati” (1:31). Tetapi apabila Tuhan menyebutkan Adam, Dia berkata, “Tidak baik manusia hidup seorang diri” (2:18). Manusia memerlukan manusia yang lain.

Alkitab tidak hanya memberitahu kita tentang keperluan untuk berhubung. Ia juga memberitahu kita cara untuk membina hubungan: di kalangan pengikut Yesus. Pada saat-saat kematian-Nya, Yesus memesan sahabatnya, Yohanes, menganggap ibu Yesus sebagai ibunya sendiri. Mereka akan menjadi keluarga bagi satu sama lain walaupun selepas Yesus disalibkan (Yohanes 19:26-27). Paulus juga mengarahkan orang percaya memperlakukan orang lain seperti ibu bapa dan adik (1 Timotius 5:1-2). Pemazmur memberitahu kita bahawa sebahagian pekerjaan penebusan Tuhan di dunia adalah “memberikan keluarga kepada yang tidak ada saudara-mara” (Mazmur 68:7), dan Tuhan merancang jemaah sebagai salah sebuah tempat yang terbaik untuk hal ini.

Kita bersyukur kepada Tuhan yang telah menciptakan kita untuk saling berhubung, dan memberi kita umat-Nya untuk menjadi keluarga kita!