Sebagai pendatang pertama ke Amerika Syarikat yang harus melalui Pulau Ellis pada tahun 1892, Annie Moore pastinya merasakan kegembiraan yang luar biasa apabila dia memikirkan tentang rumah dan permulaan yang baru. Jutaan orang yang seterusnya akan melalui tempat itu. Masa itu Annie hanya seorang remaja ketika dia meninggalkan kehidupannya yang susah di Ireland untuk memulakan kehidupan yang baru. Dengan hanya membawa sebuah beg kecil di tangannya, dia datang dengan impian, harapan dan jangkaan untuk mendapatkan peluang di tanah tersebut.

Bayangkan kegembiraan dan kekaguman besar yang akan dialami oleh anak-anak Tuhan apabila kita melihat “langit baru dan bumi baru” (Wahyu 21:1). Kita akan memasuki “kota suci itu, Yerusalem baru” (ayat 2) seperti dikatakan dalam kitab Wahyu. Rasul Yohanes menggambarkan tempat yang mengagumkan ini dengan gambaran yang berkuasa. Tempat itu akan mempunyai air sungai yang “memberikan hidup. Sungai itu berkilauan seperti kristal dan mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba” (22:1). Air mewakili kehidupan dan kelimpahan, dan sumbernya adalah Tuhan yang abadi. Yohanes berkata “tidak terdapat sesuatu pun yang kena kutuk Allah” (ayat 3). Hubungan yang indah dan murni, yang dimaksudkan pada asalnya oleh Tuhan bagi Dia sendiri dan manusia akan dipulihkan sepenuhnya.

Betapa luar biasa bagi kita untuk mengetahui bahawa Tuhan yang mengasihi anak-anak-Nya dan menebus kita dengan nyawa Anak-Nya, sedang menyediakan rumah baharu yang mengagumkan—tempat yang Dia sendiri akan tinggal dengan kita dan menjadi Tuhan kita (21:3).