Novel Leif Enger yang bertajuk Peace Like a River, mengisahkan Jeremiah Land, seorang bapa kepada tiga orang anak. Dia bekerja sebagai tukang bersih di sebuah sekolah. Dia juga seorang yang kuat beriman, bahkan kadangkala mengalami saat-saat yang luar biasa. Dalam seluruh buku itu, imannya sering diuji.

Sekolah yang Jeremiah bekerja adalah di bawah kawalan Chester Holden, seorang penguasa yang jahat dan menghidap penyakit kulit. Walaupun Jeremiah mempunyai etika kerja yang cemerlang, contohnya membersihkan limpahan air di kumbahan tanpa rungutan, membersihkan serpihan kaca yang telah dipecahkan oleh penguasa tersebut, Holden tetap memecat Jeremiah. Malah pada suatu hari, Holden menuduh Jeremiah sebagai seorang kaki botol di hadapan semua murid sekolah, akhirnya dia dibuang kerja. Hal itu merupakan satu senario yang memalukan Jeremiah.

Apakah respons Jeremiah? Dia boleh sahaja mengambil tindakan undang-undang kerana dibuang kerja secara tidak adil. Ataupun dia boleh membuat tuduhan ke atas Holden. Ataupun dia boleh menerima ketidakadilan itu dan menghilangkan diri secara diam-diam. Cuba fikirkan sejenak, apakah yang mungkin anda lakukan?

“Kasihilah musuh kamu,” kata Yesus, “berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu. Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu” (Lukas 6:27-28). Kata-kata yang mencabar ini tidak bertujuan untuk membiarkan kejahatan atau menghalang keadilan. Sebaliknya, ia mencabar kita mencontohi Tuhan kita (ayat 36) dengan satu soalan yang mendalam: Bagaimanakah saya boleh membantu musuh saya menjadi seorang yang dikehendaki Tuhan?

Jeremiah merenung muka Holden sejenak, kemudian dia menyentuh mukanya. Holden terkejut dan berundur untuk mengelakkan sentuhan itu, kemudian dia mengusap dagu dan pipinya dengan hairan. Ternyata parut di kulit muka Holden telah sembuh.

Seorang musuh telah disentuh oleh rahmat.