Stephen membesar di kawasan Timur London yang penuh keganasan dan telah terlibat dalam kegiatan jenayah sejak berumur 10 tahun. “Jika orang di sekeliling anda menjual dadah, merompak dan menipu, anda pasti juga akan terlibat. Itulah perkara biasa,” kata Stephen. Tetapi apabila dia berumur 20 tahun, dia telah mendapat mimpi yang telah mengubah hidupnya. “Saya mendengar Tuhan berkata, Stephen, kamu akan masuk penjara kerana membunuh orang”. Mimpi itu jelas memberi amaran kepada Stephen, dan dia pun berpaling kepada Tuhan dan menerima Yesus sebagai Penyelamatnya—dan Roh Kudus telah mengubah hidupnya.

Kemudian Stephen menubuhkan sebuah organisasi yang mengajar tentang disiplin, moral dan rasa hormat bagi kanak-kanak di bahagian tengah bandar melalui sukan. Dia memuji Tuhan atas kejayaan yang dicapainya sementara dia mendoakan dan melatih anak-anak muda. “Memimpin anak-anak ini membina impian yang betul”, katanya.

Apabila kita mengikut Tuhan dan meninggalkan masa lampau—seperti Stephen—kita mematuhi pesanan Paulus yang ditulisnya kepada jemaah di Efesus, supaya menerima gaya hidup yang baru. Walaupun kita telah dibinasakan oleh cara hidup lama, semasa kita “dikuasai keinginan yang menyesatkan”, namun sekarang, setiap hari kita boleh “hidup seperti manusia baru, yang diciptakan menurut rupa Allah” (Efesus 4:22, 24). Semua orang percaya yakin bahawa proses perubahan untuk menyerupai Tuhan akan berterusan dalam hidup kita, selagi kita memohon kepada Tuhan melalui Roh Kudus.

Stephen berkata, “Iman ialah dasar penting yang telah mengubah hidup saya.” Adakah ini benar bagi anda?