Tukang masak. Perancang. Pakar pemakanan. Jururawat. Ini cuma sebahagian tanggungjawab yang biasa dilaksanakan oleh ibu pada zaman moden. Pada tahun 2016, satu kaji selidik telah menganggarkan bahawa besar kemungkinan para ibu bekerja selama 95 jam sehingga 96 jam seminggu dalam tugasan yang berkaitan dengan kanak-kanak.
Tidak hairanlah para ibu sering kehabisan tenaga! Biasanya seorang ibu akan memberi banyak masa dan tenaga untuk menjaga anak-anak mereka, yang memerlukan banyak bantuan ketika mereka mula menjelajahi dunia ini.
Ketika saya berasa penat lelah dan perlu diingatkan bahawa mengambil berat tentang orang lain adalah satu tugas yang penting, saya terdorong apabila melihat Yesus memberi pengesahan kepada orang yang melayani orang lain.
Dalam Injil Markus, para pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang terbesar. Yesus datang dan duduk dengan senyap, kemudian mengingatkan mereka bahawa “sesiapa yang mahu menjadi pertama, mesti menjadi yang terakhir dan menjadi hamba semua orang” (9:35). Kemudian Dia mendakap seorang kanak-kanak untuk menerangkan kepentingan melayani orang lain, terutama orang yang tidak berdaya di kalangan kita (ayat 36-37).
Respons Kristus telah membetulkan anggapan mereka tentang “menjadi terbesar” dalam Pemerintahan-Nya. Standard Kristus adalah hati yang sanggup melayani orang lain. Yesus juga berjanji bahawa kuasa Tuhan akan menyertai mereka yang memilih untuk melayani (ayat 37).
Semoga hati anda terdorong apabila wujudnya peluang untuk melayani keluarga atau komuniti anda, kerana Yesus amat menghargai masa dan usaha anda dalam melayani orang lain.
ILHAM
Pada zaman abad pertama Israel, membuka pintu rumah untuk menyambut pengembara-pengembara ke rumah adalah tindakan sosial yang amat penting. Mengikut satu tradisi Rabi (“guru” dalam bahasa Ibrani), menyambut orang ke rumah adalah hal yang lebih besar daripada mengalu-alukan shekinah, yang menandakan kemuliaan atau hadirat Tuhan di Rumah TUHAN-Nya. Bagaimanapun, kebudayaan yang serupa itu tidak menghendaki orang untuk membuka pintu hati mereka kepada golongan masyarakat yang lebih rendah di mata mereka. Mereka memperlakukan hamba, isteri, dan anak-anak sebagai harta benda. Akibatnya, pengikut-pengikut Yesus tidak mempunyai pemahaman wajar tentang sesebuah pemerintahan yang akan dipimpin oleh seorang raja yang berperanan sebagai seorang hamba, yang rela mati untuk visi-Nya terhadap dunia yang lebih baik (Markus 9:30-32).Yesus menterbalikkan pandangan mereka tentang Pemerintahan-Nya dengan memeluk dan menghormati seorang kanak-kanak untuk menjelaskan kerendahan diri yang masih belum difahami mereka. Kemudian Dia memperluas pengertian mereka tentang siapa yang seharusnya kita terima dalam hati (ayat 37).