Sebagai seorang lelaki yang berpegang kepada prinsip yang seolah-olah satu kanun hidup, ini merupakan satu kegagalan besar. Apakah yang telah saya lakukan? Sebenarnya saya telah tertidur. Setiap kali anak-anak kami keluar pada waktu malam, mereka harus pulang ke rumah pada waktu yang ditetapkan. Mereka ialah anak-anak yang baik, namun ini memang kebiasaan saya untuk menunggu kepulangan mereka sehingga saya mendengar bunyi pintu depan dibuka. Saya ingin memastikan mereka pulang dengan selamat. Sebenarnya saya tidak perlu berbuat demikian: saya memilih untuk melakukannya. Namun pada satu malam, saya telah terjaga oleh anak perempuan saya yang berkata sambil tersenyum: “Bapa, saya sudah balik dengan selamat. Pergilah tidur.” Walaupun kita berusaha dengan niat yang cukup baik, namun ada kalanya para bapa masih terlelap semasa menjaga keselamatan keluarga. Perkara ini menonjolkan bahawa kita adalah terhad sebagai manusia.

Tetapi hal itu tidak pernah berlaku kepada Tuhan. Mazmur 121 merupakan sebuah lagu yang meyakinkan kita tentang Tuhan sebagai penjaga dan pelindung anak-anak-Nya. Pemazmur mengisytiharkan bahawa Tuhan yang menjaga kita “tidak akan tidur” (ayat 3). Untuk menekankan kebenaran itu, dia mengulangi kebenaran itu dalam ayat 4. “Dia tidak pernah terlelap atau tertidur.”

Bolehkah anda bayangkan hal ini? Tuhan tidak pernah terlelap semasa berjaga. Dia sentiasa memerhatikan kita—anak-anak lelaki dan perempuan, mak cik dan pak cik, serta para ibu dan bapa. Bukan kerana Dia terpaksa berbuat demikian, tetapi disebabkan oleh kasih-Nya yang besar. Dia telah memilih untuk melakukannya. Ini merupakan satu janji yang harus kita menyanyikan pujian kepada-Nya.