Di Kedai Basikal Peluang Kedua yang dekat dengan kawasan perumahan kami, para sukarelawan membaiki semula basikal terbuang dan mendermakannya kepada anak-anak yang miskin. Pengasas kedai tersebut, Ernie Clark, juga mendermakan basikal kepada orang dewasa yang kurang berada, termasuk mereka yang tiada tempat tinggal, orang kurang berupaya, dan para pesara tentera yang bergelut untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa. Bukan sahaja basikal-basikal tersebut mendapat peluang kedua, kadangkala penerima basikal itu juga berpeluang untuk satu permulaan baru. Seorang pesara tentera menggunakan basikal barunya untuk menghadiri temu duga.

Peluang kedua boleh mengubah hidup seseorang, terutama apabila peluang kedua itu datang daripada Tuhan. Nabi Mikha menyanjung rahmat itu sewaktu negara Israel terjejas dalam dosa rasuah, penipuan dan pelbagai dosa yang menjijikkan. Mikha mengeluh, “Kalangan salih telah hilang dari bumi, tidak ada lagi yang tulus antara manusia” (Mikha 7:2, AVB).

Mikha tahu memang wajar bagi Tuhan menghukum kejahatan. Namun kerana kasih-Nya, Tuhan memberi peluang kedua kepada sesiapa yang bertaubat. Kerana tersentuh oleh kasih sedemikian, maka Mikha berkata, “Ya TUHAN, tiada yang seperti Engkau. Engkau mengampunkan dosa umat-Mu yang masih hidup” (ayat 18).

Kita juga boleh bersukacita kerana Tuhan tidak meninggalkan kita kerana dosa-dosa kita, jika kita bertaubat. Seperti diisytiharkan Mikha, “Engkau akan mengasihani kami lagi. Engkau akan memijak-mijak dosa kami dan membuangnya ke dasar laut!” (ayat 19). Kasih Tuhan memberi peluang kedua kepada setiap orang yang mencari Dia.