Anak perempuan memberitahu saya, “Nampaknya semakin saya berusia, semakin saya berasa anda amat bijak. Kadangkala apabila saya bercakap dengan anak lelaki saya, saya menyedari bahawa kata-kata itu sebenarnya berasal daripada anda!”

Kata-kata anak perempuan saya yang berterus-terang itu telah membuat saya tertawa. Saya juga mengalami perkara yang serupa dengan ibu bapa saya sewaktu dahulu. Saya mendapati bahawa saya biasa menggunakan kata-kata mereka semasa membesarkan anak-anak saya. Apabila saya menjadi seorang bapa, pengertian saya tentang kebijaksanaan ibu bapa saya telah berubah. Perkara yang dahulunya dianggap sebagai kebodohan, telah bertukar menjadi sesuatu yang amat bijak—saya cuma tidak dapat melihatnya pada waktu itu.

Alkitab mengajar bahawa “apa yang nampaknya seperti kebodohan Allah, sebenarnya lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia” (1 Korintus 1:25). “Kerana Allah bijaksana, Dia menentukan supaya manusia tidak dapat mengenal-Nya melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Sebaliknya Allah menetapkan bahawa Dia menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya,” melalui perkhabaran tentang seorang Penyelamat yang menderita, yang “dianggap suatu kebodohan” (ayat 21).

Tuhan selalu memberi kejutan kepada kita. Dunia mengharapkan seorang raja yang datang dalam perarakan kemenangan, tetapi Anak Tuhan datang sebagai hamba yang menderita dan mati dengan hina kerana disalibkan—sebelum Dia bangkit dengan kemuliaan yang tiada bandingan.

Dengan hikmah-Nya, kerendahan hati lebih bernilai daripada kesombongan, dan kasih-Nya boleh dinilai melalui belas kasihan dan kebaikan yang kita tidak layak terima. Melalui salib, Mesias (Penyelamat) yang tidak boleh ditewaskan telah menjadi mangsa terbesar—demi “menyelamatkan sepenuhnya mereka” (Ibrani 7:25, AVB) yang beriman dalam-Nya!