Pada 9 November 1989, seluruh dunia telah dikejutkan dengan berita tentang keruntuhan Tembok Berlin. Tembok yang telah memisahkan Berlin, Jerman telah dirobohkan dan kota yang telah terpisah selama 28 tahun itu akan bersatu semula. Walaupun berita baik ini berlaku di Jerman, namun seluruh dunia turut berkongsi kegembiraan itu. Sesuatu yang luar biasa telah terjadi!
Ketika umat Israel kembali ke tanah asal mereka pada tahun 538 SM, setelah berada dalam buangan selama hampir 70 tahun, ia merupakan saat yang sangat penting. Mazmur 126 bermula dengan pandangan dari luar tentang detik yang penuh sukacita dalam sejarah Israel. Saat itu dipenuhi dengan tawa, nyanyian yang riang ria, dan pengiktirafan bangsa-bangsa bahawa Tuhan telah melakukan sesuatu yang luar biasa ke atas umatnya (ayat 2). Apakah respons umat yang telah menerima belas kasihan Tuhan? Pekerjaan Tuhan yang hebat telah melahirkan sukacita besar (ayat 3). Tambahan lagi, pekerjaan Tuhan pada masa lampau menjadi dasar untuk melahirkan doa baru bagi masa sekarang dan harapan untuk masa depan (ayat 4-6).
Kita tidak perlu melihat jauh di luar pengalaman kita sendiri untuk mencari contoh pekerjaan Tuhan, terutamanya jika kita mempercayai Tuhan melalui anak-Nya Yesus. Penulis lagu pujian pada kurun ke-19, Fanny Crosby, telah menangkap sentimen ini apabila dia menulis, “Tidak terukur besar ajaran-Nya; tidak terukur besar karya-Nya, dan sukacita kita yang besar terpancar melalui Yesus Anak Tuhan.” Ya, segala kemuliaan kepada Tuhan, Dia telah melakukan perkara yang hebat!