Pada tahun 1722, sekumpulan kecil orang Kristian Moravia yang tinggal di tempat yang dikenali sebagai Republik Czech sekarang, mendapat perlindungan daripada penganiayaan di sebuah estet kepunyaan seorang bangsawan Jerman yang murah hati. Dalam masa 4 tahun, terdapat lebih daripada 300 orang telah datang ke tempat tersebut. Namun tempat itu menjadi penuh dengan perbalahan, bukannya sebuah komuniti yang ideal bagi pelarian-pelarian yang dianiayai. Perspektif Kekristianan yang berbeza-beza telah mencetuskan perpecahan di kalangan mereka. Seterusnya apa yang dilakukan oleh mereka mungkin satu pilihan yang kecil, tetapi tindakan ini telah melancarkan satu kebangkitan rohani yang hebat: Mereka mula menumpukan perhatian kepada apa yang disetujui mereka, bukan yang sebaliknya. Hasilnya, mereka mencapai kesatuan.

Rasul Paulus bersungguh-sungguh menggalakkan jemaah di Efesus hidup dalam kesatuan. Dosa selalu membawa kesusahan, keinginan yang mementingkan diri sendiri dan menimbulkan konflik dalam hubungan. Tetapi bagi mereka yang telah “[dihidupkan] semula bersama-sama Kristus” (Efesus 2:5), orang percaya di Efesus dipanggil untuk hidup dengan identiti baru mereka berdasarkan cara hidup yang praktikal (Efesus 5:2). Mereka hendaklah “berusaha sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara” (4:3).

Kesatuan ini bukan sekadar keakraban yang mudah dicapai melalui kekuatan manusia. Kita hendaklah “sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu” (ayat 2). Daripada pandangan manusia, mustahil kita dapat bertindak sedemikian. Kita tidak dapat mencapai kesatuan melalui kuasa kita sendiri, tetapi melalui kuasa Tuhan yang sempurna, “yang bekerja dalam diri kita” (3:20).