Ally merupakan seorang remaja yang cantik, pintar dan berbakat, serta mempunyai ibu bapa yang penyayang. Tetapi selepas tamat sekolah menengah, dia tergoda untuk mengambil dadah. Ibu bapanya sedar akan perubahan Ally, maka mereka menghantarnya ke pusat pemulihan dadah setelah Ally mengakui kesan dadah ke atas dirinya. Selepas rawatan, mereka bertanya apa yang akan dikatakannya kepada kawan-kawannya yang ingin cuba mengambil dadah. Nasihatnya ialah: “Terus berpaling dan lari.” Katanya, tidak cukup “hanya berkata tidak”.
Tragiknya, Ally terjebak dalam pengambilan dadah lagi dan meninggal dunia pada umur 22 tahun disebabkan dos yang berlebihan. Dalam usaha untuk menghalang orang lain mengalami nasib yang sama dengan Ally, ibu bapanya yang sedih itu telah muncul dalam program berita tempatan dan menggalakkan para pendengar mengadakan “larian untuk Ally” dengan cara menjauhkan diri dari tempat-tempat yang boleh membuat mereka terdedah kepada dadah serta bahaya-bahaya yang lain.
Rasul Paulus menggesa anak rohaninya Timotius (dan kita) lari daripada kejahatan (2 Timotius 2:22), dan begitu juga Petrus memberi amaran. “Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa. Teguhkanlah iman dan lawanlah Iblis (1 Petrus 5:8-9).
Tiada seorang pun daripada kita yang kalis godaan. Apa yang terbaik ialah kita selalu menjauhkan diri daripada keadaan yang kita akan tergoda—walaupun kita tidak selalunya dapat kita mengelakkannya. Tetapi kita boleh bersiap sedia dengan lebih baik, dengan memiliki iman yang teguh dalam Tuhan berdasarkan iman yang disebutkan dalam Alkitab dan dikuatkan melalui doa. Apabila kita teguh dalam iman, kita akan tahu bila untuk berpaling dan lari kepada Tuhan.