Semasa mengikut pemandu taman itu, saya mengambil nota sementara dia mengajar tentang tumbuhan di hutan asal Bahamas. Dia memberitahu kami tentang pokok-pokok yang harus kami elakkan. Menurutnya, pokok yang beracun mengeluarkan getah berwarna hitam yang akan menyebabkan ruam yang sakit dan gatal. Tetapi jangan risau! Penawarnya selalu boleh didapati tumbuh di sebelah pokok tersebut. “Potong bahagian kulit berwarna merah pada pokok gam elemi itu, dan sapukan getahnya pada bahagian ruam. Anda pasti akan sembuh dengan segera,” katanya.
Saya terkejut sehingga pensel saya hampir terjatuh. Saya tidak pernah menduga bahawa saya boleh mendapat gambaran tentang penyelamatan di dalam hutan. Tetapi melalui pokok gam elemi, saya melihat Yesus. Dia adalah penawar yang tersedia bagi racun dosa saya. Seperti kulit berwarna merah pada pokok itu, demikianlah darah Yesus memberi penyembuhan.
Nabi Yesaya memahami bahawa manusia memerlukan penyembuhan. Dosa yang bagaikan ruam telah menjangkiti kita. Yesaya menjanjikan bahawa penyembuhan kita akan datang melalui “seorang yang menderita” yang akan menanggung derita penyakit kita (Yesaya 53:4). Orang yang dimaksudkan itu ialah Yesus. Kita berpenyakit, tetapi Kristus telah rela menderita demi menggantikan kita. Apabila kita percaya kepada-Nya, kita akan sembuh daripada penyakit dosa kita (ayat 5). Mungkin ini akan mengambil masa seumur hidup untuk belajar hidup sebagai orang yang sembuh—menyedari dosa-dosa kita dan menolaknya demi mendapatkan identiti baru—tetapi kerana Yesus, kita pasti boleh melakukannya.
ILHAM
Yesaya 53 memberikan penerangan yang paling jelas tentang pengorbanan Kristus dalam Perjanjian Lama, yang menggambarkan penolakan-Nya (ayat 1–3), penderitaan-Nya demi pihak kita (ayat 4–6), pengorbanan, kematian dan pengebumian-Nya (ayat 7–9), serta perdamaian dan kebangkitan-Nya (ayat 10–12). Fasal ini adalah fasal terakhir daripada empat nubuat mengenai Mesias dalam kitab Yesaya (42:1–9; 49:1–13; 50:4–11; 52:13–53:12) yang dikenali sebagai "Lagu-lagu Hamba". Ini disebabkan oleh keempat-empat nubuat ini memperlihatkan Yesus, Mesias sebagai Hamba (42:1; 49:3; 50:10; 52:13), walaupun cendekiawan Yahudi cenderung untuk menganggap Hamba sebagai Israel sendiri.Dalam Perjanjian Baru, Yesaya dipetik atau dirujuk sebanyak 62 kali. Jelasnya, penulis Perjanjian Baru memetik ayat-ayat daripada Yesaya 53 untuk mengatakan tentang Yesus Kristus (Matius 8:17, Markus 15:28, Lukas 22:37, Yohanes 12:38–41, Kisah Rasul-Rasul 8:32–35, Roma 10:16; 1 Petrus 2:24).