Rama-rama terbang keluar dan masuk dari bunga ibu saya. Semasa zaman kanak-kanak, saya rindu sekali untuk menangkapnya. Saya pun berlari dari belakang rumah ke bahagian dapur untuk mengambil sebuah balang kaca, tetapi ketika saya tergesa-gesa kembali, kaki saya tersandung dan terpukul pada konkrit keras. Balang itu pecah di bawah pergelangan tangan saya dan meninggalkan parut yang memerlukan 18 jahitan. Hari ini, parut itu kelihatan seperti ulat yang melilit di pergelangan tangan saya, yang menceritakan kedua-dua kisah tentang kecederaan dan penyembuhan.
Ketika Yesus menampakkan diri kepada para pengikut-Nya selepas kematian-Nya, Dia membawa bersama bekas-bekas luka-Nya. Yohanes mencatatkan bahawa Tomas ingin melihat “bekas paku pada tangan-Nya” dan Yesus menjemput Tomas “letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkanlah tanganmu dan letakkanlah pada rusuk-Ku” (Yohanes 20:25, 27). Untuk menunjukkan Dia ialah Yesus yang sama, Dia bangkit daripada kematian dengan bekas luka penderitaan-Nya yang masih kelihatan.
Bekas-bekas luka Yesus membuktikan bahawa Dia menjadi Penyelamat dan menceritakan kisah penyelamatan kita. Tanda-tanda tusukan pada tangan dan kaki-Nya, serta rusuk-Nya menunjukkan penderitaan yang dialami-Nya, dan Dia bertahan dan kemudian sembuh bagi kita. Dia melakukannya supaya kita dapat berdamai dengan Dia.
Pernahkah anda fikirkan maksud di sebalik parut Kristus yang diceritakan-Nya?
Bagaimanakah parut Penyelamat menjanjikan penyembuhan bagi luka kita? Apakah luka yang anda bawa kepada-Nya pada hari ini?
Ya Yesus, terima kasih kerana kisah mengenai parut-Mu yang diceritakan kepada aku dan dunia ini. Semoga aku belajar untuk lebih mengasihi Engkau melalui kisah parut-Mu.
Kitab-Kitab Injil Sinoptik (Matius, Markus, dan Lukas)—dinamakan demikian kerana banyak perkara yang serupa terkandung dalam susunan yang sama—tidak memberitahu kita sebarang tentang Tomas melainkan mencatatkan dia sebagai salah satu daripada 12 pengikut Yesus (Matius 10:3; Markus 3:18; Lukas 6:15). Hanya dalam Injil Yohanes, kita lebih mengetahui mengenai interaksi dia dengan Yesus (Yohanes 11:14-16; 14:5-6; 20:24-29; 21:1-14). Dalam Yohanes 11:16, dia dipanggil “Tomas (juga disebut sebagai Si Kembar atau Didimus).” Tomas ialah nama Ibraninya; Didimus merupakan nama Yunaninya, yang bermaksud “Si Kembar” yang dapat kita perhatikan dalam beberapa penterjemahan. Yohanes menggambarkan dia sebagai seorang percaya salih dalam Yesus. Oleh sebab Lazarus telah meninggal, Yesus mahu kembali ke Yudea untuk pengebumiannya (11:14). Sebelum kejadian ini, orang Yahudi cuba merejam Yesus sehingga mati (10:31,39), jadi adalah bahaya jika Yesus pergi ke Yudea. Tomas menunjukkan kesetiaan tulen kepada Yesus apabila dia menggesa pengikut-pengikut lain, “Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-Nya” (11:16).
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)