Sewaktu polis Ethiopia menemui seorang gadis yang diculik selepas seminggu, didapati bahawa ada tiga ekor singa jantan bersurai hitam mengelilinginya sambil menjaganya seolah-olah gadis itu ialah anak sendiri. 7 orang lelaki telah menculik dan membawa gadis berusia 12 tahun itu ke dalam hutan serta memukulnya. Ajaib sekali, ada sekawan kecil singa telah mendengar tangisan gadis tersebut lalu muncul dan mengusir para penyerang itu. “[Singa-singa] melindungi gadis itu sehingga kami menemuinya lalu meninggalkan gadis itu seperti hadiah, dan selepas itu kembali ke hutan,” kata seorang sarjan polis, Wondimu kepada seorang wartawan.

Ada kalanya, keganasan dan kejahatan seperti yang dialami oleh gadis itu melumpuhkan kita dan menyebabkan kita kehilangan harapan serta berada dalam ketakutan. Pada zaman dahulu, rakyat Yehuda turut mengalaminya. Mereka ditakluki oleh tentera yang ganas dan mustahil dapat melarikan diri. Ketakutan menakluki mereka. Namun Tuhan tidak henti-henti menyatakan hadirat-Nya kepada mereka: “Tuhan, raja Israel, menyertai kamu; tiada lagi yang menakutkan kamu” (Zefanya 3:15). Bahkan apabila malapetaka yang datang itu adalah akibat daripada pemberontakan kita sendiri, Tuhan masih menyelamatkan kita. “TUHAN, Allah kamu menyertai kamu; kamu menang kerana kuasa-Nya” (ayat 17).

Apa pun masalah yang menimpa kita, apa pun kejahatan, Yesus—Singa daripada suku Yehuda—menyertai kita (Wahyu 5:5). Tidak kira betapa sepi yang kita rasakan, Penyelamat kita yang kuat menyertai kita. Tidak kira apa pun ketakutan yang menimpa kita, Tuhan kita meyakinkan bahawa Dia berada di sisi kita.