Bilakah kali terakhir anda berasa terdorong untuk membantu seseorang, tetapi hanya membiarkan masa berlalu tanpa melakukan sesuatu? Dalam Peraturan 10-Saat, Clare De Graaf mencadangkan bahawa dorongan Roh Kudus setiap hari dapat menjadi salah satu cara Tuhan memanggil kita mendalami perjalanan rohani kita dan mentaati Dia kerana digerakkan oleh kasih kepada-Nya. Peraturan 10-Saat mendorong anda “melakukan perkara seterusnya jika anda yakin ini ialah kehendak Yesus,” dan melakukannya dengan segera “sebelum anda mengubah fikiran.”
Yesus berkata, “Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku” (Yohanes 14:15). Kita mungkin berfikir, saya mengasihi Dia, tetapi bagaimana saya boleh yakin akan kehendak-Nya dan menurutnya? Dalam kebijaksanaan-Nya, Yesus telah menyediakan apa yang kita perlukan untuk lebih memahami dan mendapat kebijaksanaan yang terkandung dalam Alkitab. Dia pernah berkata, “Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya”—Roh Kebenaran” (ayat 16-17). Oleh sebab pekerjaan Roh Kudus yang menyertai dan hidup dalam kita, kita akan dapat belajar untuk mentaati Yesus serta “mentaati perintah-perintah-[Nya]” (ayat 15)—dengan memberi respons kepada panggilan Tuhan yang kita alami sepanjang hari (ayat 17).
Dalam hal besar dan kecil, Roh Kudus mendorong kita yakin melakukan apa yang akan memuliakan Tuhan dan menyatakan kasih kita kepada-Nya dan orang lain (ayat 21).