“Doa tidak akan lenyap.” Ini merupakan kata-kata E. M. Bounds (1835-1913) yang menarik perhatian ramai. Tulisan-tulisan klasiknya mengenai doa telah memberi inspirasi kepada banyak generasi. Komen-komennya mengenai kuasa dan sifat kekal doa kita diteruskan dengan kata-kata ini: “Bibir orang percaya yang berdoa mungkin tertutup kerana kematian, jantung yang merasakannya mungkin tidak lagi berdegup, tetapi doa akan terus kekal di hadapan Tuhan, dan hati Tuhan tertuju kepadanya, dan doa masih kedengaran lebih lama daripada orang yang mengucapkannya; lebih lama daripada satu generasi, satu zaman.”
Pernahkah anda tertanya-tanya jika doa—terutama doa pada masa kesukaran, kesakitan dan penderitaan—adakah ia sampai kepada Tuhan? Kata-kata yang bermakna daripada Bounds mengingatkan kita tentang kepentingan doa kita seperti yang dicatatkan dalam Wahyu 8:1–5. Ruang takhta Tuhan dan pusat kawalan alam semesta terletaknya di syurga (ayat 1). Para malaikat berdiri di hadapan Tuhan (ayat 2) dan seorang malaikat lain, seperti imam pada zaman kuno yang membawa sebuah perbaraan emas, datang dan berdiri di hadapan mazbah. Dia diberikan banyak kemenyan untuk ditambahkan pada “doa-doa semua umat Allah” (ayat 3). Betapa menakjubkan dan mendorongnya gambaran tentang doa-doa di bumi yang naik kepada Tuhan di syurga (ayat 4). Apabila kita berfikir bahawa doa kita mungkin tidak sampai atau dilupakan, apa yang kita lihat di sini amat menghibur kita dan mendorong kita terus berdoa, kerana doa kita sangat berharga bagi Tuhan!