Segalanya menjadi senyap, hanya lava yang masih meletus keluar secara perlahan-lahan sehingga ke pinggir hutan tropika. Penduduk di situ berdiri dengan suram namun berasa kagum. Kebanyakan hari mereka menamakannya “syurga”. Bagaimanapun pada hari ini, rekahan gunung berapi di daerah Puna Hawaii mengingatkan semua orang bahawa Tuhan membentuk pulau-pulau ini melalui kuasa gunung berapi yang tidak dapat dijinakkan.

Orang Israel pada masa dahulu juga menghadapi kuasa yang tidak dapat diredakan. Apabila Raja Daud menguasai semula Tabut Perjanjian (2 Samuel 6:1-4), satu perayaan diadakan (ayat 5)—sehingga seorang lelaki mati secara tiba-tiba ketika dia menghulurkan tangan dan memegang tabut itu (ayat 6-7).

Hal ini mungkin menyebabkan kita berfikir bahawa Tuhan adalah seperti gunung berapi yang tidak dapat diramal, yang mencipta dan memusnahkan sesuatu sesuka hati-Nya. Walau bagaimanapun, ia membantu kita mengingati bahawa Tuhan telah memberikan perintah khusus kepada umat Israel tentang cara untuk menjaga benda-benda penyembahan yang suci (lihat Bilangan 4). Israel mempunyai keistimewaan untuk menghampiri Tuhan, tetapi hadirat-Nya juga terlalu luar biasa bagi mereka untuk menghampiri Dia dengan sikap sembarangan.

Ibrani 12 mengingatkan kita tentang gunung “dengan apinya yang bernyala-nyala,” iaitu Tuhan memberikan Musa Sepuluh Perintah. Gunung itu menakutkan semua orang (ayat 18–21). Tetapi penulis membezakan situasi itu dengan ini: “Kamu telah datang ke Bukit Sion … Yesus, Pengantara yang mengadakan perjanjian baru” (ayat 22–24). Yesus—Anak Tuhan—membuka jalan bagi kita menghampiri Bapa-Nya yang berkuasa dan penuh kasih sayang.