Nate dan Sherilyn menjamu selera di sebuah restoran omakase ketika melawat Bandaraya New York. Omakase ialah perkataan Jepun dengan terjemahan: “Terserah kepada anda,” yang bermaksud pelanggan di restoran tersebut memberi hak kepada tukang masak untuk memilih makanan mereka. Walaupun ini merupakan kali pertama bagi mereka mencuba jenis masakan seperti ini dan ada risikonya, namun mereka menyukai makanan yang dipilih dan disediakan oleh tukang masak.

Kita boleh menerapkan idea ini dalam sikap kita terhadap Tuhan dengan permintaan doa kita: “Aku berserah kepada-Mu.” Para pengikut melihat bahawa Yesus sering “pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa” (Lukas 5:16), maka mereka meminta Dia mengajar mereka cara untuk berdoa. Dia menyuruh mereka meminta keperluan harian mereka, pengampunan dosa dan jalan keluar daripada godaan. Sebahagian daripada respons-Nya juga merangkumi sikap penyerahan: “Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga” (Matius 6:10, AVB).

Kita boleh meluahkan segala keperluan kita kepada Tuhan kerana Dia mahu mendengar apa yang ada dalam hati kita—dan Dia senang untuk memberikannya. Akan tetapi sebagai manusia yang fana, kita tidak selalu tahu apa yang terbaik. Oleh itu, mintalah dengan kerendahan hati dan berserah kepada-Nya. Kita boleh menyerahkan segala-galanya kepada Dia, serta yakin bahawa Dia boleh dipercayai dan akan menyediakan yang terbaik untuk kita.