Pada tahun 2015, seorang wanita membuang komputer milik suaminya yang telah meninggal dunia di pusat kitar semula—sebuah komputer yang telah diciptakan pada tahun 1976. Apa yang lebih penting daripada soalan bila ia diciptakan, ialah siapa yang telah menciptakannya. Ia adalah salah sebuah daripada 200 komputer yang dipasang oleh pengasas Apple, Steve Jobs sendiri dan bernilai 250 ribu dolar! Kadangkala jika mengetahui nilai sebenar sesuatu benda bermaksud mengetahui siapa yang menciptakannya.

Dengan mengetahui bahawa Tuhan yang telah menciptakan kita, ini menunjukkan bahawa kita sangat berharga di mata Tuhan (Kejadian 1:27). Mazmur 136 mencatatkan detik-detik penting umat-Nya—Israel yang dahulu: bagaimana mereka telah dibebaskan daripada tawanan di Mesir (ayat 11–12), mengembara melalui padang gurun (ayat 16) dan diberi rumah baru di Kanaan (ayat 21-22). Tetapi setiap kali sejarah Israel disebut, frasa ini disusuli dengan: “Kasih-Nya kekal abadi.” Ini mengingatkan umat Israel bahawa pengalaman mereka bukanlah peristiwa bersejarah secara rawak. Setiap saat telah dirancang oleh Tuhan dan mencerminkan kasih-Nya yang berkekalan bagi semua yang telah diciptakan-Nya.

Sering kali saya membiarkan detik-detik yang memperlihatkan pekerjaan dan kebaikan Tuhan berlalu begitu sahaja, dan tidak mengenal bahawa setiap hadiah yang sempurna berasal daripada Bapa Syurgawi saya (Yakobus 1:17), yang mencipta dan mengasihi saya. Semoga anda dan saya belajar untuk bersyukur bahawa setiap berkat dalam kehidupan kita berasal daripada kasih Tuhan yang abadi.