Sewaktu komposer legenda Giuseppi Verdi (1813-1901) masih muda, keinginan untuk menerima pengiktirafan telah mendorongnya ke arah kejayaan. Warren Wiersbe menulis tentang dia: “Ketika Verdi mempersembahkan opera pertamanya di Florence, komposer itu berdiri keseorangan di satu sudut dan memerhatikan air muka seorang lelaki di kalangan para hadirin—Rossini yang hebat. Bagi Verdi, ini tidak penting sama ada hadirin di dewan itu bersorak atau mengejeknya; Apa yang diinginkan dia ialah senyuman yang berupa tanda pengiktirafan daripada tokoh muzik.”
Pengiktirafan siapakah yang kita cari? Ibu bapa? Majikan? Kekasih? Bagi Paulus, hanya ada satu jawapan. Dia menulis, “Sebaliknya kami sentiasa berkata-kata sebagaimana yang dikehendaki Allah, kerana kami dianggap layak oleh Allah untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati orang, tetapi kami berusaha untuk menyenangkan hati Allah yang menguji hati kami” (1 Tesalonika 2:4).
Apakah ertinya dianggap layak oleh Tuhan? Sekurang-kurangnya ini melibatkan dua perkara: berpaling daripada keinginan untuk mendapatkan sorakan orang lain dan membenarkan Roh-Nya menjadikan kita lebih menyerupai Kristus—Dia yang mengasihi kita dan memberikan diri-Nya untuk kita. Apabila kita mentaati rancangan-Nya yang sempurna supaya Dia mengubah dan memakai kita, kita berharap pada suatu hari kelak, kita akan mendapat senyuman pengiktirafan-Nya—dianggap layak oleh Dia yang terutama.
Pengiktirafan siapakah yang kita cari? Apakah kepentingannya bagi anda? Bagaimanakah pengiktirafan Tuhan dapat membawa kepuasan yang lebih mendalam?
Bapa, terlalu mudah bagi aku mencari sorakan orang di sekeliling dan mengharapkan pujian mereka. Tolonglah agar mata aku hanya tertuju kepada-Mu yang paling mengenal dan mengasihi aku.
Pada perjalanan misi keduanya (Kisah Rasul-Rasul 15:36-18:22), Paulus mahu memberitakan Injil di Asia Kecil dan Bitinia (bahagian barat dan utara Turki moden), tetapi Tuhan melencongkan perjalanannya ke Eropah menerusi Troas melalui “penglihatan seorang Makedonia” (16:6-12). Paulus berkhutbah di Tesalonika (utara Negeri Yunani), kota kedua di Eropah yang diinjilkan (selepas Filipi), untuk kira-kira satu bulan (17:2). Setelah memulakan sebuah gereja di sana, dia meninggalkan tempat itu kerana penganiayaan (ayat 5-10), tetapi dia sangat mengambil berat tentang jemaah yang baru itu. Oleh sebab dia gagal untuk kembali (1 Tesalonika 2:17-18), dia menghantar Timotius untuk melawat gereja itu (3:1-5). Timotius melaporkan bahawa jemaah itu sedang bertumbuh—berdiri teguh dalam Kristus walaupun di tengah-tengah penganiayaan (ayat 6-8) —tetapi dia juga berkongsi kerisauannya mengenai keruntuhan akhlak dan kepercayaan yang salah tentang kepulangan Yesus (4:1-18). Sebagai balasan, Paulus menulis 1 Tesalonika untuk memuji jemaah itu kerana mereka “menjadi teladan kepada semua orang Kristian” dan “kepercayaan [mereka] kepada Allah” (1:7-8).
Sim Kay Tee (Penulis Tamu)