Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Kumpulan Barna pada tahun 2018, mereka mendapati bahawa kebanyakan orang Amerika tidak suka bercakap tentang Tuhan. Hanya 7 peratus orang Amerika yang mengatakan bahawa mereka sering bercakap tentang perkara-perkara rohani—dan begitu juga dengan mereka yang percaya kepada Yesus di Amerika. Hanya 13 peratus daripada orang yang kerap menghadiri gereja mengatakan bahawa mereka berbual-bual tentang hal-hal rohani sekali seminggu.

Mungkin tidak menghairankan apabila perbualan tentang hal-hal rohani semakin berkurangan. Perbualan tentang Tuhan mungkin boleh membawa bahaya. Sama ada kerana keadaan politik yang saling bertentangan akibat perselisihan yang mungkin menyebabkan keretakan dalam hubungan, atau kerana perbualan tentang Tuhan mungkin menyebabkan anda menyedari perubahan yang perlu anda lakukan dalam hidup anda—rasanya perbualan seperti ini berisiko tinggi.

Akan tetapi menurut perintah yang diberikan kepada umat Tuhan, iaitu orang Israel dalam kitab Ulangan, bercakap mengenai Tuhan boleh menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian. Umat Tuhan harus menghafal firman-Nya dan memaparkannya di tempat-tempat yang dapat dilihat. Hukum Tuhan mengarahkan anda agar bercakap tentang perintah Tuhan kepada anak-anak anda sepanjang hayat. “Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja” (11:19).

Tuhan memanggil kita berbicara tentang Dia. Ambil setiap peluang dengan bergantung kepada Roh Kudus, dan cuba mengalihkan perbualan kecil anda kepada sesuatu yang lebih mendalam. Tuhan akan memberkati komuniti kita ketika kita bercakap tentang firman-Nya dan mengamalkannya dalam kehidupan.