Bayangkan bilik takhta yang besar. Di atas takhta itu duduknya seorang raja yang agung. Dia dikelilingi oleh semua hamba, masing-masing dengan perilaku yang terbaik. Sekarang bayangkan sebuah kotak yang terletak di kaki raja. Dari semasa ke semasa, raja memasukkan tangannya ke dalam kotak dan membalik-balik kandungannya. Apakah yang ada di dalam kotak? Barang kemas, emas, dan batu permata kegemaran raja. Kotak ini mengandungi harta raja, koleksi yang memberikan kegembiraan besar kepadanya. Bolehkah anda membayangkan itu?
Perkataan Ibrani untuk harta ini adalah segulah, dan ertinya ialah “pemilikan istimewa.” Perkataan itu yang wujud dalam kitab-kitab Perjanjian Lama seperti Keluaran 19:5, Ulangan 7:6 dan Mazmur 135:4 merujuk kepada bangsa Israel. Perkataan ini yang membawa maksud yang sama juga muncul dalam Perjanjian Baru melalui penulisan rasul Petrus. Dia menggambarkan bahawa “umat Allah,” mereka yang “telah menerima rahmat-Nya” (ayat 10), bukan hanya terbatas kepada orang Israel. Dengan erti kata lain, dia berbicara tentang orang yang percaya kepada Yesus, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi. Dan dia menulis “Tetapi kamu … umat Allah sendiri” (ayat 9).
Bayangkan hal itu! Raja Syurgawi yang hebat dan berkuasa menganggap anda sebagai sebahagian daripada khazanah istimewa-Nya. Dia telah menyelamatkan anda daripada cengkaman dosa dan kematian. Dia menebus anda sebagai umat-Nya. Raja berkata, “Andalah yang Aku kasihi. Andalah kepunyaan-Ku.”