Bunyi siren yang begitu nyaring sehingga membingitkan telinga ketika kenderaan kecemasan yang dipandu dengan laju melepasi kereta saya. Kelipan lampu siren yang memancar melalui cermin hadapan kereta saya, membuat perkataan “bahan berbahaya” di sisi trak kelihatan jelas. Kemudian, saya mengetahui bahawa kenderaan itu digegaskan ke makmal sains kerana mengandungi sebanyak 400-gelen bekas asid sulfurik yang mula bocor. Para pekerja kecemasan terpaksa mengendalikan bahan itu dengan serta-merta kerana ia boleh merosakkan apa sahaja jika tersentuhnya.

Ketika memikirkan berita ini, saya tertanya-tanya apa yang akan berlaku jika siren berbunyi setiap kali perkataan yang kasar atau kritikal “dibocorkan” daripada mulut saya? Ia mungkin mengakibatkan kekecohan di sekitar rumah kami.

Nabi Yesaya juga mempunyai kesedaran tentang dosanya. Apabila dia melihat kemuliaan Tuhan dalam suatu penglihatan, dia berasa dirinya tidak layak. Dia mengakui bahawa dia adalah “seorang yang najis bibir” yang hidup dengan orang yang juga menghadapi masalah sama (Yesaya 6:5, ATB). Apa yang berlaku seterusnya memberi saya harapan. Seorang malaikat menyentuh bibirnya dengan bara api, dan menjelaskan, “kesalahanmu sudah dihapuskan, dan dosamu pun sudah diampunkan” (ayat 7).

Dari semasa ke semasa, kita perlu berhati-hati dengan kata-kata kita—baik yang ditulis mahupun yang dituturkan. Adakah kata-kata kita menjadi bahan “berbahaya”, atau adakah kita akan membenarkan kemuliaan Tuhan menyedarkan kita, dan rahmat-Nya menyembuhkan kita supaya kita boleh memuliakan Dia dengan segala yang kita katakan?