“Pada waktu berlakunya tragedi atau kesakitan, terdapat peluang untuk memperlihatkan kasih kurnia atau membalas dendam,” kata orang yang baru sahaja kehilangan ahli keluarganya. “Saya memilih untuk memperlihatkan rahmat Tuhan”. Isteri Pastor Erik Fitzgerald telah terbunuh dalam kemalangan kereta yang diakibatkan oleh seorang anggota bomba yang keletihan sehingga tertidur sewaktu memandu pulang. Pendakwa raya ingin tahu sama ada dia menginginkan hukuman terberat yang setimpal dikenakan terhadap ahli bomba itu. Pastor itu memilih untuk mengampuni sebagaimana yang sering dikhutbahkannya. Apa yang mengejutkan, dia dan anggota bomba itu akhirnya menjadi sahabat.
Pastor Erik memperlihatkan rahmat Tuhan yang diterimanya daripada Tuhan, yang telah mengampuni semua dosanya. Melalui tindakan, dia menggemakan kata-kata Nabi Mikha yang memuji Tuhan kerana mengampuni dosa apabila kita melakukan kesalahan (Mikha 7:18). Nabi ini menggunakan bahasa gambaran yang cukup jelas untuk menggambarkan kesungguhan Tuhan dalam mengampuni dosa umat-Nya dengan berkata, Tuhan “akan memijak-mijak dosa” dan membuang semua kesalahan kita ke dasar laut (ayat 19). Anggota bomba tersebut telah menerima hadiah pembebasan pada hari itu, dan hal ini telah membawanya lebih dekat kepada Tuhan.
Apa pun kesukaran yang kita hadapi, kita tahu bahawa Tuhan sentiasa menjangkau kita dalam kasih. Dengan tangan terbuka, Dia menjemput kita ke dalam pelukan-Nya. Dia suka “menunjukkan kasih-[Nya]” (ayat 18). Apabila kita menerima kasih dan rahmat-Nya, Dia memberi kita kekuatan untuk mengampuni mereka yang menyakiti kita—seperti yang telah dilakukan oleh Pastor Erik.