David Brown, seorang pelari buta yang terpantas di dunia mewakili Pasukan Paralimpik Amerika Syarikat, menaikkan pujian kepada Tuhan atas kemenangannya, juga berterima kasih kepada ibunya yang memberi nasihat (“jangan hanya duduk”), dan kepada pembimbingnya—seorang pelari pecut veteran Jerome Avery. Dengan seutas tali yang mengikat jari-jari Brown dan Avery, Avery membimbing Brown mendapat kemenangan dalam perlumbaan itu melalui kata-kata dan sentuhan.

Brown berkata bahawa dia mendengar isyarat pembimbingnya yang mengatakan bahawa dia boleh “melangkah lebar” dalam perlumbaan 200 meter di trek melengkung. Hari demi hari, mereka terus mengatur strategi perlumbaan. Mereka juga saling berkomunikasi bukan hanya melalui isyarat kata-kata, tetapi juga melalui isyarat fizikal.

Dalam perjalanan hidup kita, kita dikurniakan Bimbingan Tuhan. Penolong kita, iaitu Roh Kudus, memimpin langkah-langkah kita apabila kita mengikuti-Nya. Yohanes menulis, “Aku menulis surat ini kepada kamu tentang mereka yang berusaha untuk menipu kamu” (1 Yohanes 2:26). “Tetapi bagi kamu, Kristus telah mencurahkan Roh-Nya kepada kamu. Selama Roh-Nya ada pada kamu, kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu. Hal ini demikian kerana Roh-Nya mengajar kamu tentang segala sesuatu, dan apa yang diajarkan-Nya itu benar, bukan palsu” (ayat 27).

Yohanes menekankan hikmat ini kepada orang percaya pada zamannya yang berhadapan dengan “musuh Kristus” yang enggan mengakui Bapa dan Yesus sebagai Mesias (ayat 22). Pada zaman ini, kita juga berhadapan dengan perkara sedemikian. Tetapi Roh Kudus, iaitu Pembimbing kita, memimpin kita untuk mengikut Yesus. Kita boleh percaya kepada bimbingan-Nya untuk menyentuh kita dengan kebenaran, dan menjaga kita agar tetap dalam jalan-Nya.