Bapanya menyalahkan ilmu sihir sebagai penyebab ke atas penyakitnya. Sebenarnya penyakit tersebut ialah AIDS. Setelah dia meninggal dunia, Mercy, anak perempuannya yang berumur 10 tahun, menjadi lebih rapat dengan ibunya. Tetapi ibunya juga sakit, dan 3 tahun kemudian dia meninggal dunia. Sejak itu, kakak Mercy yang menjaga dan membesarkan lima orang adik-beradik. Masa itulah Mercy mula menulis jurnal mengenai kepedihan hatinya yang amat dalam.

Nabi Yeremia juga telah menulis tentang kepedihan hatinya. Dalam kitab Ratapan yang suram, dia menulis mengenai kekejaman yang dilakukan oleh tentera Babilonia ke atas penduduk Yehuda. Hati Yeremia berasa sedih terutamanya terhadap mangsa yang masih bayi dan kanak-kanak. “Hatiku hancur melihat kebinasaan bangsaku, melihat kanak-kanak dan bayi pengsan di jalan kota” (ayat 2:11). Penduduk Yehuda mempunyai sejarah bahawa mereka tidak mempedulikan Tuhan, tetapi anak-anak mereka terpaksa membayar harganya. Yeremia menulis, “mereka jatuh di tengah jalan seolah-olah cedera, lalu meninggal di pangkuan ibu mereka (ayat 12).

Mungkin kita menyangka bahawa Yeremia akan menolak Tuhan ketika menghadapi penderitaan sedemikian. Sebaliknya, dia menggesa orang yang terselamat untuk mencurahkan isi hati mereka di hadapan Tuhan dan memohon belas kasihan untuk anak-anak mereka (ayat 19).

Memang baik jika kita mencurahkan isi hati kita kepada Tuhan seperti yang dilakukan oleh Mercy dan Yeremia. Ratapan adalah saat genting dalam hidup manusia. Walaupun Tuhan mengizinkan kepedihan sedemikian, Dia juga bersedih bersama dengan kita. Dia juga meratap seperti kita, kerana kita dicipta menurut gambar-Nya!