Saya pernah mengunjungi sebuah kawasan yang miskin di Santo Domingo, iaitu ibu negara di Republik Dominika. Rumah-rumah itu diperbuat daripada zink, dengan wayar-wayar elektrik yang bergantungan di atasnya. Di situ saya mendapat keistimewaan untuk menemu ramah keluarga-keluarga dan mendengar bagaimana gereja-gereja telah membantu untuk memerangi pengangguran, penggunaan dadah, dan jenayah.

Di suatu lorong, saya menuju ke sebuah bilik kecil dengan menaiki sebuah tangga yang goyah untuk menemu ramah seorang ibu dan anak lelakinya. Namun tidak lama kemudian, seseorang bergegas naik dan berkata, “Kita mesti pergi sekarang!”. Rupanya seorang ketua geng yang memegang sebilah parang hendak mengumpulkan gengnya untuk menyerang kami.

Selepas itu, kami mengunjungi kawasan kejiranan yang kedua, tetapi kami tidak mengalami sebarang masalah di sana. Kemudian saya mendapat tahu sebabnya. Setiap kali saya mengunjungi sesebuah keluarga, seorang ketua geng yang lain akan berdiri di luar untuk menjaga keselamatan kami. Ternyata anak perempuan ketua geng itu telah mendapat bantuan makanan dan pendidikan daripada pihak gereja. Oleh sebab anaknya mendapat penjagaan daripada jemaah, maka dia juga menjaga keselamatan kami.

Dalam Khutbah di atas Bukit, Yesus menyampaikan nilai kasih yang tidak ada tolok bandingnya. Kasih ini meliputi bukan sahaja kepada yang “layak” malahan juga yang tidak layak (Matius 5:43-45), menjangkaui keluarga dan rakan-rakan serta menyentuh hati mereka yang tidak dapat atau tidak akan mengasihi kita kembali (ayat 46-47). Inilah kasih Tuhan (ayat 48)—jenis kasih yang memberkati semua orang.

Apabila orang percaya di Santo Domingo mempraktikkan kasih ini, jiran-jiran mereka mula berubah. Hati yang keras menjadi lembut. Itulah yang berlaku apabila kasih Tuhan wujud di tempat itu.