Saya mengerekot di atas sofa kerana berasa keletihan secara fizikal, mental dan emosi. Keluarga kami telah menurut pimpinan Tuhan dan berpindah dari California ke Wisconsin, Amerika Syarikat. Setelah kami tiba di tempat itu, kereta kami rosak sehingga kami tidak mempunyai kenderaan selama dua bulan. Sementara itu, pergerakan suami saya yang terhad selepas pembedahan di belakang badan yang tidak dijangka, dan penyakit kronik saya telah menyukarkan kerja-kerja memunggah barang-barang kami. Kami menghadapi banyak masalah besar dengan rumah lama yang kami anggap baharu. Anjing tua kami juga sakit. Walaupun anak anjing baharu kami memberikan kegembiraan besar, kami berasa sukar untuk memeliharanya. Ini menyebabkan saya panas baran. Bagaimanakah iman saya tidak goyah ketika berhadapan dengan keadaan hidup yang penuh kesusahan?

Ketika saya berdoa, Tuhan mengingatkan saya tentang pujian pemazmur yang tidak bergantung pada keadaan. Daud sering meluahkan emosinya dalam keadaan yang lemah, dan dia mencari tempat berlindung di hadirat Tuhan (Mazmur 16:1). Dia mengakui Tuhan sebagai pembekal dan pelindung (ayat 5-6), dia memuji Tuhan dan mengikut bimbingan-Nya (ayat 7). Daud menegaskan bahawa “tiada suatu pun dapat menggoncang[nya]” kerana tumpuannya “sentiasa sedar akan hadirat TUHAN” (ayat 8). Maka dia bersyukur dan bersukacita, serta yakin dalam hadirat Tuhan (ayat 9-11).

Kita juga boleh bersukacita dengan mengetahui bahawa kesejahteraan kita tidak bergantung pada situasi semasa kita. Tatkala kita bersyukur kepada Tuhan kita yang tidak berubah, hadirat-Nya akan menguatkan iman kita.