Pada Januari 1943, angin Chinook telah melanda Spearfish, Dakota Selatan, Amerika, dengan cepat menaikkan suhu daripada –20° kepada 7°C. Perubahan cuaca yang drastik itu—melonjak kepada 49 darjah, berlaku hanya dalam masa 2 minit. Perubahan suhu terbesar yang dicatat di Amerika Syarikat dalam tempoh 24 jam ialah 103 darjah yang luar biasa! Pada 15 Januari 1972, Loma, Montana, Amerika mengalami perubahan suhu yang melonjak daripada –48° kepada 9°C.
Walau bagaimanapun, perubahan mendadak bukan hanya sekadar fenomena cuaca, malahan juga berlaku dalam kehidupan. Yakobus mengingatkan kita, “Sekarang dengarlah nasihatku, hai kamu yang berkata, ‘Hari ini atau esok kami akan berangkat ke suatu negeri dan tinggal di sana selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.’ Tetapi apa yang akan berlaku dengan kehidupan kamu esok, kamu tidak tahu!” (4:13–14). Kerugian yang tidak dijangkakan. Laporan kesihatan yang mengejutkan. Kemunduran ekonomi. Perubahan yang tiba-tiba.
Hidup adalah satu perjalanan yang disertakan banyak unsur yang tidak dapat diramalkan. Inilah sebabnya Yakobus mengingatkan kita untuk bertaubat daripada “sombong dan bercakap besar” yang tidak menghormati Tuhan dalam hidup (ayat 16). Dia menasihati kita, “Kamu seharusnya berkata begini, ‘Jika diperkenankan Tuhan, kami akan hidup dan melakukan ini atau itu’ ” (ayat 15). Perkara-perkara yang berlaku dalam hidup kita mungkin tidak menentu, tetapi satu perkara yang pasti: melalui setiap saat hidup yang tidak dijangkakan, Tuhan tidak pernah meninggalkan kita. Dia Tuhan yang kekal sepanjang hidup kita.