Dalam satu kempen pendermaan baju panas untuk kanak-kanak, mereka mencari-cari dalam timbunan baju yang ada warna kegemaran mereka dan saiz yang sesuai dengan rasa syukur dan gembira. Menurut pihak penganjur, kanak-kanak ini turut memperoleh keyakinan diri dengan adanya baju panas yang baru. Mereka juga mendapat penerimaan daripada rakan-rakan sedarjah dan purata kehadiran ke sekolah juga meningkat pada musim sejuk.
Rasul Paulus juga memerlukan baju panas ketika dia menulis kepada Timotius, “Bawalah baju panas yang aku tinggalkan di Troas di rumah Karpus” (2 Timotius 4:13). Apabila Paulus dikurung dalam penjara Roma yang sejuk, dia memerlukan baju panas dan juga teman. “Tidak seorang pun mendampingi aku; semuanya meninggalkan aku” keluhnya, ketika dia membela dirinya di hadapan hakim Roma (ayat 16). Kata-katanya menyayat hati, kerana dia menyatakan kesakitan hati seorang penginjil.
Tetapi kata-kata akhir dalam surat Paulus mencatatkan kesimpulan selepas pelayanan yang penuh cabaran—perasaannya bertukar daripada duka kepada pujian. “Tetapi Tuhan menyertai aku,” tambahnya (ayat 17). Kata-katanya memberi galakan kepada kita. Seperti yang dikatakan oleh Paulus, “[Tuhan] memberi aku kekuatan, sehingga aku dapat mengisytiharkan seluruh Berita Baik itu supaya didengar oleh semua orang bukan Yahudi. Aku pun diselamatkan daripada hukuman mati” (ayat 17).
Jika anda menghadapi krisis, mahupun kekurangan baju panas atau kawan rapat untuk membantu, ingatlah Tuhan. Dia setia untuk memulihkan, memberi dan menepati janji-Nya. Mengapakah demikian? Demi kemuliaan-Nya dan tujuan kita dalam kerajaan-Nya.