Seorang yang baru percaya kepada Yesus sangat ingin membaca Alkitab. Tetapi dia telah kehilangan penglihatan dan kedua-dua belah tangan dalam satu letupan. Apabila dia mendengar bahawa seorang wanita boleh membaca Braille (bentuk tulisan bagi orang buta) dengan bibirnya, dia cuba melakukan perkara yang sama—namun dia mendapati bahawa hujung saraf bibirnya juga turut terjejas. Kemudian, dia dipenuhi sukacita apabila dia mendapati bahawa dia dapat merasakan abjad Braille dengan lidahnya! Akhirnya dia telah menemukan cara untuk membaca dan menikmati Alkitab.

Kesukaan dan kebahagiaan adalah emosi yang dialami Nabi Yeremia ketika dia menerima kata-kata Tuhan. “Engkau berfirman kepadaku, dan aku mendengarkan setiap firman-Mu,” katanya, “firman-Mu memberikan kesukaan dan kebahagiaan kepadaku” (Yeremia 15:16). Tidak seperti orang Yehuda yang tidak mahu menerima firman Tuhan (8:9), Yeremia mentaati dan bersukacita kerana firman Tuhan. Walau bagaimanapun, disebabkan ketaatannya, Nabi Yeremia ditolak oleh rakyatnya sendiri dan dianiayai dengan tidak adil (15:17).

Ada orang mungkin mengalami sesuatu yang serupa. Kita membaca Alkitab dengan sukacita, tetapi ketaatan kepada firman Tuhan mendatangi penderitaan dan penolakan daripada orang lain. Seperti Yeremia, kita boleh membawa kekeliruan ini kepada Tuhan. Dia menjawab Yeremia dengan mengulangi janji yang diberikan-Nya ketika Dia pertama kali memanggilnya untuk menjadi nabi (ayat 19-21; lihat 1:18-19). Tuhan mengingatkan dia bahawa Dia tidak akan mengecewakan umat-Nya. Kita juga boleh mempunyai keyakinan yang sama. Dia setia dan tidak akan meninggalkan kita.