Filem bertajuk The Free State of Jones menceritakan kisah Newton Knight semasa dalam Perang Saudara di Amerika Syarikat, apabila beberapa orang pelarian dan hamba abdi dari Negeri-negeri Gabungan Amerika membantu Angkatan Tentera Kesatuan dan kemudian menentang pemilik abdi selepas peperangan. Ramai orang menganggap Knight sebagai wira, tetapi dua hamba telah menyelamatkan nyawanya semasa dia melarikan diri dari tenteranya. Merekalah yang membawa dia ke kawasan paya yang berada di tempat yang jauh dan terpencil, lalu mengubati kaki Knight yang tercedera semasa melarikan diri daripada pasukan Negeri-negeri Gabungan. Sekiranya mereka meninggalkan dia pada ketika itu, dia pasti sudah mati.
Orang Yehuda juga mengalami kecederaan dan berasa tidak berdaya apabila menghadapi musuh. Israel telah dijajah oleh Asyur, dan Yesaya bernubuat bahawa pada suatu hari kelak mereka (Yehuda) juga akan ditakluki oleh musuh—Babilonia. Yehuda memerlukan Tuhan yang akan menolong, menyelamatkan dan tidak meninggalkan mereka. Bayangkanlah, harapan yang semakin meluap-luap ketika orang mendengar jaminan Tuhan: “Janganlah takut, kerana Aku menyertai kamu” (Yesaya 43:5). Walau apa jua malapetaka atau masalah yang dihadapi mereka, Dia berjanji akan menyertai mereka. Dia akan “menyeberangi laut yang dalam” dengan mereka, membawa mereka ke tempat yang selamat (ayat 2). Dia akan “melalui api” dengan mereka, dan mereka “tidak akan terbakar” (ayat 2).
Dalam seluruh Alkitab, Tuhan berjanji untuk menyertai umat-Nya, menjaga, membimbing dan tidak pernah meninggalkan kita—sama ada dalam hidup atau mati. Walaupun anda berada dalam keadaan yang sukar, Tuhan menyertai anda. Dia akan menolong anda menyeberangi laut yang dalam.