Apabila penggera pada telefon Shelley dimatikan setiap hari pada jam 3:16 petang, dia akan mengambil masa untuk mengucapkan pujian kepada Tuhan. Dia bersyukur kepada Tuhan dan mengakui segala kebaikan-Nya. Walaupun dia berkomunikasi dengan Tuhan sepanjang hari, Shelley menyukai masa rehat ini kerana ini dapat membantu dia bersyukur atas hubungan intim dengan Tuhan.

Setelah diilhami oleh pengabdiannya terhadap Tuhan yang penuh sukacita, saya juga memutuskan untuk menetapkan waktu tertentu pada setiap hari untuk bersyukur kepada Kristus akan pengorbanan-Nya pada kayu salib, dan berdoa bagi mereka yang masih belum menerima keselamatan-Nya. Saya tertanya-tanya apa yang akan terjadi jika semua orang yang percaya kepada Yesus mengambil masa untuk memuji Dia dengan cara mereka sendiri, serta berdoa untuk orang lain pada setiap hari.

Gambaran penyembahan yang indah seperti gelombang ombak yang bergulung-gulung ke hujung bumi bergema dalam Mazmur 67. Pemazmur memohon belas kasihan Tuhan, serta ingin mengisytiharkan nama-Nya yang hebat kepada semua bangsa (ayat 2-3). Dia menyanyi, “Semoga bangsa-bangsa memuji Engkau, ya Allah; semoga semua bangsa memuji Engkau” (ayat 4). Dia meraikan pemerintahan-Nya yang berdaulat dan bimbingan-Nya yang setia (ayat 4). Sebagai saksi tentang kasih Tuhan yang besar dan berkat-Nya yang melimpah, pemazmur memimpin umat Tuhan memberi pujian kepada Tuhan dengan sukacita (ayat 5-6).

Kesetiaan Tuhan yang berterusan ke atas anak-anak yang dikasihi-Nya memberi inspirasi kepada kita untuk memberi pujian kepada Dia. Apabila kita berbuat demikian, orang lain akan menyertai kita dengan mempercayai, menghormati, mengikuti dan mengakui Dia sebagai Tuhan.