Setiap hari di pejabat pos di Yerusalem, para pekerja akan menyusun surat-surat yang tidak dapat dihantar mengikut kategori agar semua surat berjaya dihantar kepada penerimanya. Kebanyakan surat berakhir di dalam sebuah kotak khas yang dilabel “Surat kepada Tuhan.”

Kira-kira 1000 pucuk surat seperti ini sampai ke Yerusalem setiap tahun, dan hanya tertulis Tuhan atau Yesus sebagai penerima surat. Oleh sebab tidak tahu cara untuk menguruskan surat-surat tersebut, seorang pekerja mula mengambilnya ke Tembok Barat Yerusalem dan menempatkan surat-surat itu di antara blok batu dengan doa bertulis yang lain. Kebanyakan kandungan surat adalah tentang permohonan pekerjaan, pasangan hidup, atau kesihatan. Ada juga surat untuk meminta maaf, yang lainnya pula adalah kesyukuran. Seorang lelaki menulis untuk bertanya kepada Tuhan jika isterinya yang telah meninggal boleh muncul dalam mimpinya kerana dia ingin bertemu dengan dia lagi. Setiap pengirim surat percaya bahawa Tuhan akan mendengar permohonan mereka selagi Dia menerimanya.

Orang Israel mempelajari banyak pengajaran ketika mereka melalui padang gurun. Salah satu pengajaran ialah Tuhan mereka tidak seperti tuhan yang lain pada masa itu—jauh, pekak, terhad secara geografi, hanya dicapai melalui penghijrahan yang jauh atau mel antarabangsa. Tidak, “Allah kita dekat kepada kita. Dia menjawab bila-bila sahaja kita berseru meminta pertolongan” (Ulangan 4:7). Adakah sesiapa yang boleh mengatakan sebegini? Inilah berita yang sungguh hebat!

Tuhan tidak tinggal di Yerusalem. Dia berada dekat dengan kita di mana-mana pun kita berada. Sesetengah orang masih perlu memahami kebenaran yang kukuh ini. Semoga setiap surat itu boleh menerima maklum balas ini: Tuhan berada di sisi anda. Anda hanya perlu berbicara dengan Dia.