Filem bertajuk Amistad menceritakan kisah para abdi yang diculik dari Afrika Barat pada tahun 1839, merampas kapal yang mengangkut mereka lalu membunuh kapten dan beberapa anak kapal. Kemudian mereka ditangkap semula, dipenjarakan dan dibawa ke mahkamah. Cinqué, iaitu ketua abdi dengan bersungguh-sungguh merayu untuk kebebasan dalam perbicaraan yang tidak dapat dilupakan. Dengan bahasa Inggeris yang teruk, Cinqué yang dibelenggu itu mengulangi tiga perkataan pendek dengan kuat, “Beri kami bebas!” Akhirnya bilik mahkamah menjadi senyap. Keadilan ditegakkan dan mereka dibebaskan.

Kebanyakan orang pada hari ini tidak terbelenggu dalam bahaya secara fizikal, tetapi pembebasan sebenar daripada belenggu dosa tetap sukar diperoleh. Kata-kata Yesus dalam Yohanes 8:36 memberikan penghiburan yang indah: “Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas.” Yesus merujuk diri-Nya sebagai sumber kebebasan sejati kerana Dia memberi pengampunan kepada sesiapa yang percaya kepada-Nya. Walaupun beberapa orang yang mendengar kata Kristus mengatakan bahawa mereka ada kebebasan (ayat 33), namun kata-kata, sikap dan tindakan mereka mengenai Yesus bertentangan dengan pernyataan mereka.

Yesus ingin mendengar orang menggemakan rayuan permintaan Cinqué, “Beri kami bebas!” Dengan belas kasihan, Dia menantikan seruan orang yang dibelenggu oleh ketidakpercayaan, ketakutan atau kegagalan. Kebebasan sejati adalah jiwa kita yang dibebaskan. Kebebasan seperti itu dikhaskan untuk orang yang percaya bahawa Yesus adalah Anak Tuhan yang telah dihantar ke dunia untuk menghapuskan kuasa dosa yang membelenggu kita melalui kematian dan kebangkitan-Nya.