Pada musim panas yang lepas, seekor ikan paus pembunuh yang bernama Talequah telah melahirkan anak. Jenis ikan paus seperti Talequah berada dalam bahaya kepupusan dan anaknya yang baru lahir adalah harapan untuk masa depan spesies mereka. Tetapi anak itu cuma hidup kurang daripada satu jam. Di bawah perhatian seluruh dunia, Talequah menunjukkan kesedihannya dengan menyorong anaknya yang sudah mati itu merentasi Lautan Pasifik yang sejuk selama 17 hari sebelum melepaskannya.

Kadangkala orang yang percaya kepada Yesus tidak pasti bagaimana untuk menangani kedukaan. Mungkin kita takut jikalau kita menunjukkan kedukaan, kita akan kelihatan seolah-olah kita telah kehilangan harapan. Namun Alkitab memberi kita banyak contoh bahawa ada yang berseru kepada Tuhan pada masa kedukaan. Ratapan dan harapan, kedua-duanya boleh menjadi sebahagian respons iman kita.

Ratapan ialah kitab yang mengandungi 5 buah puisi. Ia menyuarakan kedukaan orang yang telah kehilangan tempat tinggal. Mereka diburu oleh musuh dan menghadapi maut (3:52-54), dan mereka menangis serta berseru kepada Tuhan untuk menegakkan keadilan (ayat 64). Mereka berseru kepada Tuhan bukan kerana mereka telah hilang harapan, tetapi kerana mereka percaya bahawa Tuhan masih mendengar. Tuhan telah mendekati mereka apabila mereka berseru (ayat 57, AVB).

Tidak salah jika kita meratapi kehancuran yang terjadi di dunia ini atau dalam kehidupan kita. Tuhan sentiasa mendengar, dan anda boleh yakin bahawa Tuhan memandang dari syurga dan memperhatikan anda.