Ketika jenayah bersenjatakan pisau meningkat di United Kingdom, Pusat Ironwork British mencadangkan satu idea. Melalui kerjasama dengan pihak polis tempatan, mereka telah menyediakan 200 kotak di seluruh negara serta melancarkan kempen amnesti (pengampunan). Sebanyak 100 ribu bilah pisau telah diserahkan tanpa nama. Malah kesan darah masih kelihatan pada beberapa mata pisau. Semua pisau itu kemudian dihantar kepada artis Alfie Bradley, yang mengumpulkan pisau-pisau tersebut, memahat nama-nama mangsa yang muda akibat jenayah pisau, bersama pesanan tanda kekesalan daripada bekas pesalah. Kesemua 100,000 bilah senjata tersebut kemudian dikimpal untuk mencipta Knife Angel (Malaikat Pisau)—sebuah patung berbentuk malaikat setinggi 8 meter, yang mempunyai sayap besi yang berkilau.

Apabila saya berdiri di hadapan Malaikat Pisau, saya berfikir tentang ribuan luka yang dapat dielakkan dengan kewujudan patung tersebut. Saya juga berfikir tentang visi nabi Yesaya tentang syurga dan bumi yang baru (Yesaya 65:17), sebuah tempat yang anak-anak tidak akan mati awal (ayat 20), atau menjadi dewasa dalam kemiskinan yang mengakibatkan jenayah (ayat 22-23), sebuah tempat yang tidak wujud sebarang jenayah pisau kerana semua pedang telah dibentuk semula serta diberi kegunaan yang lebih kreatif (2:4).

Dunia baru itu belum wujud lagi, tetapi kita harus berdoa dan melayani sehingga hari itu tiba (Matius 6:10). Dengan caranya yang tersendiri, Malaikat Pisau memberi kita sedikit gambaran tentang masa hadapan yang dijanjikan Tuhan. Pedang menjadi bajak. Senjata menjadi alat seni. Apakah projek-projek penebusan lain yang boleh kita jalankan untuk mewujudkan masa depan yang penuh harapan?