Sebuah buku tentang kebarangkalian berkata bahawa satu daripada sejuta orang akan disambar petir. Ia juga menyatakan bahawa satu daripada 25,000 orang akan mengalami masalah kesihatan yang dipanggil ‘sindrom patah hati“ kerana mengalami kejutan besar atau kehilangan. Buku itu menyenaraikan pelbagai pengalaman pelik yang mungkin dihadapi oleh ramai orang tanpa memberi sebarang jawapan kepada persoalan: Apakah yang boleh dilakukan jika kita terbabit dalam perkara pelik itu?
Ayub telah menjadi salah seorang mangsa yang terbabit. Tuhan menyatakan tentang Ayub, “Di seluruh bumi tiada orang yang begitu setia dan baik seperti dia. Dia beribadat kepada-Ku dan sungguh berhati-hati supaya tidak berbuat jahat” (Ayub 1:8). Namun Ayub telah terpilih untuk menanggung kesengsaraan yang di luar jangkaan. Antara manusia di muka bumi, Ayub layak untuk mendapatkan jawapan. Kita boleh membaca fasal demi fasal, tentang keperitan cabaran yang dihadapi oleh Ayub untuk memahami persoalannya, “Mengapa saya?”
Kisah Ayub memberikan kepada kita cara untuk memberi respons terhadap misteri penderitaan dan kesedihan yang tidak terjelas. Dengan melihat bagaimana salah seorang hamba Tuhan yang baik dan penuh belas kasihan mengalami penderitaan dan kebingungan (fasal 25), kita belajar bahawa hukum menabur dan menuai tidak selamanya berlaku (4:7-8). Dengan menunjukkan kekacauan yang diakibatkan oleh Iblis (fasal 1) dan pengakhiran (42:7-17) daripada Tuhan yang akan menghantar Anak-Nya untuk menanggung dosa kita pada suatu masa kelak, kisah Ayub memberikan kita sebab untuk hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan.