Sebagai pelajar sekolah menengah, Patrick Ireland mula berasa bahawa Tuhan telah memilihnya untuk suatu tujuan. Tetapi apakah tujuan tersebut? Pada masa kemudian, apabila dia menjadi salah seorang yang terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai yang kejam di Sekolah Menengah Columbine (Colorado), iaitu seramai 13 orang telah dibunuh dan 24 orang tercedera, termasuk Patrick sendiri, dia mula memahami tujuan itu.
Melalui proses penyembuhan yang panjang, Patrick belajar bahawa dengan memendam kepahitan, ia menimbulkan lebih banyak luka. Tuhan menunjukkan Patrick bahawa kunci pengampunan adalah berhenti memfokuskan perbuatan orang lain terhadap kita, dan berfokus pada apa yang telah dilakukan Yesus untuk kita. Lihatlah kata-kata Yesus pada kayu salib terhadap mereka yang melukai-Nya, “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka” (Lukas 23:34). Ungkapan ini menggenapi nubuat imam Zakharia tentang pengampunan yang diberikan Yesus (Lukas 1:77). Tambahan pula, teladan-Nya menunjukkan tujuan hidup Patrick, dan 20 tahun selepas tragedi itu, Patrick berkongsi, “Mungkin saya dipilih untuk mengampuni.”
Walaupun kebanyakan kita tidak perlu mengharungi kemalangan yang begitu teruk seperti yang berlaku di Columbine, setiap kita pernah dilukai. Pengkhianatan oleh pasangan. Pemberontakan anak-anak. Penyalahgunaan kuasa oleh majikan. Bagaimanakah kita harus maju ke hadapan? Mari kita melihat teladan Penyelamat kita. Ketika berdepan dengan penolakan dan kekejaman, Dia mengampuni. Melalui pengampunan Yesus ke atas dosa-dosa kita, kita sendiri akhirnya menemukan keselamatan yang termasuklah kemampuan untuk mengampuni orang lain. Seperti Patrick, kita boleh memilih untuk melepaskan kepahitan serta membuka hati kita untuk mengampuni orang.