Saya dan sekumpulan kawan berkumpul di tepi sebuah tasik yang indah pada hujung minggu. Kami meluangkan masa bersama untuk bermain di dalam air serta makan bersama. Kami juga bersembang pada petang itu dan saya sangat menghargai masa itu. Apabila malam menjelang, kami berkongsi hal-hal yang begitu mendalam dengan hati terbuka mengenai pelbagai perkara, termasuklah kepahitan dalam perkahwinan yang gagal, dan akibat trauma yang dialami oleh anak-anak kami. Tanpa menganggap remeh tentang kehancuran yang berlaku dalam hidup, kami saling mendorong dan mengalihkan perhatian kepada Tuhan dan kesetiaan-Nya untuk mengharungi kesukaran yang begitu besar. Beberapa malam itu adalah masa yang paling berharga dalam kehidupan saya.

Saya mengingati malam itu adalah serupa dengan apa yang diinginkan Tuhan apabila Dia mengarahkan umat-Nya berkumpul untuk Perayaan Pondok Daun setiap tahun. Perayaan ini, seperti perayaan lain, menuntut orang Israel pergi ke Yerusalem. Apabila mereka sampai, Tuhan mengarahkan umat-Nya berkumpul untuk penyembahan dan “jangan lakukan pekerjaan harian” selama perayaan berlangsung—kira-kira sepanjang seminggu! (Imamat 23:35). Perayaan Pondok Daun adalah untuk merayakan pembekalan yang diberikan Tuhan dan mengingati masa mereka di padang gurun selepas meninggalkan Mesir (ayat 42-43).

Perhimpunan ini mengukuhkan identiti orang Israel sebagai umat Tuhan dan mengisytiharkan kebaikan-Nya walaupun mereka menghadapi kesukaran secara berkumpulan dan individu. Apabila kita berkumpul dengan mereka yang kita kasihi untuk mengingati pembekalan Tuhan dan hadirat-Nya dalam kehidupan kita, iman kita turut dikuatkan.