Untuk menyaksikan pertunjukan menunggang motosikal di khalayak ramai, saya terpaksa berdiri berjengkit agar saya dapat melihat pertunjukan tersebut. Sewaktu memerhatikan keadaan sekeliling, saya melihat 3 orang budak duduk di atas pokok yang berhampiran. Nampaknya mereka juga agak sukar melewati orang ramai untuk berada di hadapan dan menyaksikan pertunjukan tersebut.

Ketika memerhatikan budak-budak itu menonton pertunjukan dari kedudukan yang tinggi, saya teringat akan cerita Zakheus, yang dikisahkan oleh Lukas sebagai pemungut cukai yang kaya (Lukas 19:2). Orang Yahudi sering memandang pemungut cukai sebagai pengkhianat kerana mereka bekerja untuk kerajaan Rom dengan memungut cukai daripada orang Israel sendiri, malah mengenakan cukai yang tinggi untuk mengisi akaun peribadi mereka. Jadi Zakheus ditolak oleh masyarakatnya.

Semasa Yesus melewati kota Yerikho, Zakheus teringin melihat Dia tetapi tidak dapat disebabkan oleh terlalu banyak orang. Oleh sebab berasa terdesak dan kesunyian, dia pun memanjat sebatang pokok ara untuk melihat Yesus (ayat 3-4). Di situlah, Yesus mencari dia serta mengisytiharkan bahawa Dia berhasrat untuk menjadi tetamu di rumahnya (ayat 5).

Kisah Zakheus mengingatkan saya bahawa Yesus “datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat,” menawarkan persahabatan-Nya dan keselamatan (ayat 9-10). Biarpun kita berasa diri kita dipulaukan oleh masyarakat, ditolak oleh orang ramai, kita boleh pasti bahawa di situ pun Yesus akan menemukan kita.